fbpx
Tangkap layar insiden kanak-kanak tercampak keluar dari sebuah kereta ketika membuat pusingan U baru-baru ini

Polis siasat kes kanak-kanak tercampak keluar dari kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak tercampak keluar dari sebuah kereta ketika membuat pusingan U di Jalan Tasik Puteri, Rawang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan satu rakaman video yang tular di media sosial semalam berdurasi satu minit 37 saat yang memaparkan kejadian tersebut.

“Rakaman terbabit memaparkan seorang kanak-kanak dipercayai perempuan telah tercampak keluar dari sebuah kereta jenis Perodua Myvi ketika kenderaan terbabit membuat pusingan U.

“Seorang lelaki telah membantu mengangkat mangsa yang tertiarap di atas jalan sebelum diserahkan kepada seorang wanita dipercayai ibu mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kejadian akan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mana-mana orang bertanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak didapati menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi.

“Sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

“Polis juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau 03-61262222,” jelasnya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, sebuah rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak tercampak keluar dari sebuah kereta ketika sedang membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat.

Kejadian tersebut disedari pemandu kenderaan di belakangnya yang juga turut memberikan bantuan awal menyelamatkan kanak-kanak berkenaan dengan mendukungnya. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR