fbpx

Ajai cari artis rakaman di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AJAI

PETALING JAYA – Komposer Ajai kini sedang giat mencari pelapis baharu yang ingin merealisasikan impian mereka menjadi artis rakaman.

Bermula Mei 2022, pemilik nama lengkap Muhammad Faizal Maas itu telah mula melakukan uji bakat di sekitar Kuala Lumpur dan kini bersambung di Sarawak melalui platform Dataran Superstars.

Dataran Superstars merupakan satu platform yang akan diterajui oleh Ajai dalam mengembangkan sayapnya mencari bakat terbaik di negeri Bumi Kenyalang tersebut.

Sesi uji bakat bagi Dataran Superstars telah pun dijalankan di beberapa buah daerah seperti Sibu, Bintulu, Miri dan Kuching.

Kata Ajai, dia sangat berbesar hati menerima jemputan mengetuai projek berkenaan yang disokong oleh pihak Majlis Seni Sarawak sehingga ke peringkat akhir program.

“Saya sangat teruja nak ke Sarawak semula. Sudah dua tahun saya tak berjumpa dan melakukan uji bakat di sana. Kali terakhir bersama sebuah stesen televisyen untuk sebuah program realiti.

 

“Saya percaya dalam tempoh dua tahun kita terperap di rumah, ramai remaja yang dah meningkat usia yang lebih matang akan muncul ke sesi uji bakat ini. Dalam pengalaman saya, ramai anak-anak muda yang sangat berbakat yang ada di Sarawak.

“Lihat saja bukti seperti Dayang, Hafiz, Bob dan ramai lagi. Inilah saat yang paling sesuai untuk mencari dan memanggil mereka. Saya pasti anak-anak muda di Sarawak juga dahagakan platform sebegini,” katanya.

Dua lagi lokasi yang berbaki akan diadakan di Hotel Seri Simanggang, Sri Aman Sarawak pada 2 Julai ini bermula dari pukul 10 pagi selain di Summer Mall, Kota Samarahan Sarawak pada 3 Julai juga bermula waktu sama dengan penyertaan adalah percuma.

Mereka yang terbaik akan ditapis untuk ke peringkat seterusnya iaitu separuh akhir dan peringkat akhir.

Hadiah-hadiah lumayan juga disediakan oleh pihak penganjur seperti wang tunai dan juga peluang menjadi artis rakaman atau rakaman lagu bersama Ajai.

Bagi mereka yang berbakat dalam nyanyian dan ingin merealisasikan impian sebagai seorang penyanyi rakaman, ikuti laman Instagram @byAjai untuk maklumat-maklumat lanjut seperti syarat-syarat penyertaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI