fbpx

Liga Super: Penang FC cipta kemenangan sulung, baham Terengganu FC 2-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HILAL AlHelwe (kiri) menyumbang gol sulung buat pasukan Penang FC pada minit ke-23 dalam saingan Liga Super 2022 menentang Terengganu FC di Stadium Bandaraya, George Town di sini malam tadi. FB PENANG FC

GEORGE TOWN – Penang FC berjaya mencipta kemenangan sulung apabila berjaya menewaskan pasukan Terengganu FC 2-1 dalam saingan Liga Super 2022 yang berlangsung di Stadium Bandaraya di sini malam tadi.

Pada babak pertama, Skuad Harimau Kumbang bermula garang dengan melakukan beberapa aksi serangan balas seawal minit pembukaan sehingga menyekat ketangkasan barisan pertahanan Terengganu FC menerjah masuk ke kubu tuan rumah.

Pasukan kendalian Ketua Jurulatih baharu Penang FC, Zainal Abidin Hassan itu dilihat mula mengatur kemas strategi perlawanan apabila penyerang importnya, Hilal AlHelwe berjaya melakukan gol pendahulu menerusi rembatan rendah pada minit ke-23.

Jaringan sulung pemain berasal dari Lubnan itu adalah hasil hantaran daripada pemain tengahnya, Muhamad Faizat Mohamad Ghazli.

Gandingan mantap Endrick, Hilal, Faizat dan Mohd Azzizan Nordin ternyata merupakan satu kombinasi yang tepat dalam usaha meraih kemenangan sulung pada saingan Liga Super menentang Skuad Penyu malam ini.

Pada separuh masa pertama itu, pasukan Terengganu FC dilihat gagal memanfaatkan ruang yang ada meskipun mempunyai banyak peluang yang berpihak kepada mereka.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Memasuki babak kedua, pasukan Terengganu FC tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan deras penyerangnya, Mohamad Faizal Abdul Halim berjaya menembusi gawang tuan rumah pada minit ke-48.

Bagaimanapun, cubaan Penang FC untuk mencipta jaringan kedua akhirnya berhasil menerusi tandukan pemain tengahnya, T. Saravanan, minit ke-50.

Serangan mantap kedua-dua pasukannya sememangnya menggamatkan suasana perlawanan di hadapan kira-kira 1,363 penyokong yang hadir.

Pada separuh masa kedua itu, Terengganu FC dilihat berada dalam keadaan buntu bagi mendapatkan jaringan penyamaan kedua mereka apabila hantaran menerusi tandukan pemain pertahanan, Muhamad Syahrul Nizam gagal disudahinya dan ditampan kemas penjaga gol Penang FC, Muhammad Hafizul Hakim.

Keputusan itu kekal 2-1 sehingga wisel penamat dibunyikan. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI