fbpx
PERASAAN takut menyelubungi diri Adila apabila melihat lembaga wanita menerusi cermin i bilik air hotel. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Pramugari dihantui bayangan wanita di bilik hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUGAS sebagai seorang pramugari menuntut Adila (bukan nama sebenar) untuk menginap selama beberapa hari di bilik hotel sebelum memulakan penerbangan seterusnya.

Namun, dia sama sekali tidak menyangka sebuah hotel yang dihuninya di New Delhi, India satu ketika dahulu sebenarnya berhantu apabila dia diganggu oleh lembaga wanita yang muncul di sebalik cermin bilik air.

Jelasnya, pada hari pertama menginap di hotel yang terletak di tengah bandar New Delhi itu, dia berjanji untuk makan malam bersama Zara (bukan nama sebenar) yang merupakan rakan sekerja.

Adila berehat sebentar sebelum mandi dan bersiap untuk ke sebuah restoran masakan asli India yang terletak tidak jauh dari hotel berkenaan.

“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa, namun mengakui kurang selesa dengan lampu bilik air di kamar hotel itu yang agak malap.

“Kerana perut sudah mula ‘berkeroncong’ disebabkan lapar, saya segera mandi dan bersiap dengan kadar pantas memandangkan Zara sudah pun menunggu di luar bilik,” ujarnya.

Ketika itu, Adila mula diganggu satu lembaga wanita yang dilihatnya di cermin bilik air hotel itu semasa mengeringkan rambut.

“Saya terlihat bayang-bayang menyerupai seorang wanita berambut panjang di sudut kiri cermin.

“Saya terkejut dan terus mematikan alat pengering rambut lalu menoleh ke belakang, namun saya tidak melihat apa-apa yang mencurigakan.

“Saya fikir, itu mungkin hanya bayang-bayang daripada tuala yang digantung di sudut bilik air,” katanya.

Dia kemudian menceritakan tentang perkara tersebut kepada Zara, namun wanita bertubuh tinggi lampai itu mengatakan bahawa ia cuma khayalan Adila sahaja.

Sekembalinya ke bilik, Adila yang berasa sukar untuk tidur walaupun badannya terasa letih kemudian memilih untuk menonton televisyen (TV).

Ketika asyik menonton, dia dikejutkan dengan satu lembaga yang bergerak dengan amat laju di hadapan TV tersebut.


BEKERJA Sebagai pramugari membuatkan Adila dapat mengunjungi lokasi menarik di seluruh dunia. – GAMBAR HIASAN

Adila tersentak dan degupan jantungnya menjadi laju.

Dia kemudian menghidupkan semua lampu sambil matanya tajam memperhatikan keadaan bilik tersebut.

Selepas beberapa minit, Adila kembali menonton TV dan enggan terlalu memikirkan tentang lembaga tersebut walaupun jantungnya masih berdegup kencang.

Ketakutannya kembali apabila dia nampak bayang-bayang wanita sama dilihatnya di dalam cermin bilik air.
Kali ini, ia muncul di cermin besar yang terletak berdekatan pintu masuk bilik berkenaan.

“Saya berasa amat takut lalu menghubungi bahagian penyambut tetamu dan memaklumkan tentang peristiwa yang dialami.

“Sebaik sahaja menyebut nombor bilik, penyambut tetamu tersebut terdiam dan segeramenawarkan kepada saya untuk menukar bilik lain.

“Menurutnya, bilik tersebut sudah lama tidak berpenghuni.

“Dia hairan bagaimana saya diberikan bilik tersebut,” ujar Adila.

Alangkah terkejutnya Adila apabila dia dimaklumkan bahawa bilik bernombor 509 itu sememangnya pernah menjadi lokasi pembunuhan melibatkan seorang wanita.

Wanita tersebut dikatakan dibunuh bekas teman lelakinya selepas dituduh berlaku curang.
Mayatnya ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam bilik tersebut.

“Mujur saya tidak diganggu begitu teruk, namun ia benar-benar satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” ujarnya.
———————————————————————————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN