fbpx

Polis pasang kawad berduri di Selat Tebrau elak diceroboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis memasang kawad berduri di perairan Selat Tebrau, Johor Bahru bagi mengelakkan insiden pencerobohan berulang.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyuarakan kebimbangan mengenai isu pencerobohan sempadan negara melalui lorong tikus untuk masuk ke negeri ini.

Beliau berkata, sempadan negara itu dibolosi sekumpulan individu tidak bertanggungjawab berhampiran Selat Tebrau, di sini berdasarkan video yang tular semalam.

Katanya, pihak berkuasa sedang mengesan sekumpulan individu berkenaan yang memasuki negara ini mengikut laluan yang tidak sah.

“Berikutan itu, beberapa tindakan diambil oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian berulang. Polis turut mendirikan pos kawalan dan menempatkan anggota polis 24 jam di kawasan kejadian.

“Pihak polis juga memasang kawad berduri di tepi pagar tebing Selat Tebrau. Usaha mengesan individu-individu yang masuk Malaysia mengikut laluan yang tidak sah sedang dijalankan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Onn Hafiz berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan isu-isu di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang tidak berkesudahan.

“Saya berharap pihak kementerian akan lebih serius menangani isu yang memberi kesan kepada imej negara dan negeri Johor,” katanya.

Video tular yang dirakam oleh pekerja Malaysia yang berulang-alik dari Johor ke Singapura menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen khuatir dengan tahap keselamatan sempadan negara.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, rakaman video berkenaan tular sejak semalam.

Menurutnya, hasil siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI) mendapati lima lelaki dan tiga perempuan memasuki sempadan negara secara haram.

“Individu yang terbabit diminta ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk diambil keterangan.

“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Nizam Ramon di talian 011-116086119,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1969/63.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI