fbpx

Perginya Hamid Gurkha, hero tidak didendang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA filem lakonan Pak Hamid adalah Sikit Punya Gila (1982), Ragam Pemandu (1986), Main-Main Hantu (1990), Gila-Gila (1979), Aku Yang Berhormat (1983), Talak (1984), Konstabel Mamat (1992), Impian (1996), Silat Lagenda (1998) dan banyak lagi.

AWAN langit industri hiburan tanah air berarak mendung apabila seniman veteran, Hamid Gurkha atau nama sebenarnya, Abd. Hamid Abd. Rahman meninggal dunia sekitar pukul 2.19 petang, Selasa lalu.

Allahyarham Hamid atau Pak Hamid meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.

Pemergian Hamid cukup mengesankan banyak orang. Masing-masing berkongsi luahan duka. Antara yang menyentuh perasaan, pelakon dan penyanyi, Datuk Awie.

Pemilik nama lengkap, Ahmad Azhar Othman itu menyifatkan kehilangan Pak Hamid sebagai satu kehilangan besar buat industri hiburan tanah air.

Hero, nak buat konsert

Katanya, di sebalik senyuman yang terbit di bibir Allahyarham sewaktu hayatnya masih ada, Hamid seumpama hero yang tidak didendang.

“Saya tak begitu rapat dengan Allahyarham tetapi hubungan kami mudah akrab setiap kali berjumpa dan bekerjasama.

“Sebenarnya, saya ada pasang niat nak buat konsert kutip dana untuk tujuan perubatan beliau sekitar dua tahun lalu tapi disebabkan kekangan waktu dan pandemik Covid-19 membuatkan segalanya terbantut.

HASRAT Awie mengadakan sebuah konsert amal bagi membantu seniman Hamid Gurkha tidak kesampaian.

“Secara peribadi, saya melihat Allahyarham sebagai seniman berstatus hero yang tidak didendang.

“Orang kenal siapa Hamid Gurkha tetapi tapi tak ramai yang betul-betul menghargai bakat seninya,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Bekas askar

Pelantun lagu Ratuku itu sangat menyenangi keperibadian Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang peramah dan tidak kedekut ilmu.

“Allahyarham seorang yang sangat jujur dengan dirinya dan orang lain. Apa yang kita tengok dalam televisyen dan filem, itulah beliau dalam kehidupan sebenar.

“Seingat saya, sebelum mengabdikan diri dalam dunia hiburan, beliau merupakan seorang askar dan disebabkan kerjaya sebagai seorang askar, nama ‘Gurkha’ melekat dengannya,” kata Awie.

Awie pernah bekerjasama dengan Allahyarham Hamid menerusi filem arahan Allahyarham Mamat Khalid, Zombi Kampung Pisang.

Reda

Sementara itu, anak bongsu Hamid iaitu Nor Ashita mewakili keluarga reda dengan pemergian bapanya.

“Kami reda atas pemergian arwah. Allah lebih menyayangi selepas enam hari dia dimasukkan ke hospital,” katanya.

Pada 1965, Allahyarham menjadi juara program Bintang Radio RTM sebelum dikenali menerusi filem Panglima Badol (1978). Hamid bersama Allahyarham Jamali Shadat pernah menghasilkan album komedi sekitar tahun 1970-an.

Terdahulu, Nor menafikan Allahyarham dalam keadaan tenat hingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Bagaimanapun, Nor memaklumkan, arwah bapanya dalam keadaan stabil dan terkawal selepas dirawat di hospital akibat selepas mengalami batuk teruk.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Raja selepas isyak hari yang sama.

Hamid mendirikan rumah tangga bersama Timah Abdul Hamid, 80, pada April 1957. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata. Allahyarham juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.

Hamid mula aktif dalam bidang seni sekitar penghujung 1970-an dan namanya cukup dikenali menerusi filem-filem popular seperti Panglima Badol, Jejaka Perasan, Zombi Kampung Pisang dan filem terakhirnya pada tahun 2020, Superbike The Movie.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI