fbpx

KPDNHEP serbu kedai runcit enggan jual minyak masak peket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Serbuan KPDNHEP menemui minyak masak peket di stor simpanan sebuah kedai runcit di Kulim, hari ini.

KULIM – Keengganan seorang peniaga kedai runcit menjual minyak masak peket kepada pengguna membawa padah apabila premisnya diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Kedai runcit itu diserbu kira-kira pukul 10.30 pagi tadi susulan aduan awam mendakwa peniaga terbabit enggan menjual minyak masak peket sekilogram kepada pengguna.

Pengarah KPDNHEP negeri, Affendi Rajini Kanth memberitahu, pegawai penguat kuasa sebelum itu bertindak menyamar sebagai orang awam dan membuat uji beli untuk mengenal pasti sama ada terdapat minyak masak peket sekilogram di premis tersebut.

“Peniaga memaklumkan minyak masak peket sekilogram tiada stok buat masa sekarang dan hanya minyak masak botol tiga hingga lima kilogram sahaja yang ada dan dipamerkan untuk jualan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di stor simpanan kedai runcit tersebut bagaimanapun mendapati terdapat 28 peket minyak masak sekilogram disimpan di dalam sebuah kotak,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, pemilik premis mengaku bahawa dia hanya menjual minyak masak peket kepada pelanggan yang dikenali sahaja.

“Siasatan lanjut akan dijalankan ke atas pemilik premis di bawah Seksyen 16A (1) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana enggan menjual barang kawalan iaitu minyak masak peket sekilogram dalam kuantiti munasabah mengikut cara perniagaan biasa.

“Sitaan telah dilakukan ke atas semua minyak masak peket yang ditemui,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI