LIPIS – Hasrat seorang guru untuk bercuti bersama keluarga mentua di Negeri Sembilan tidak kesampaian apabila meninggal dunia di Benta di sini semalam.
Ketika kejadian itu, Nik Zulkiflee Nik Yusof berusia 48 tahun dalam perjalanan ke rumah mentuanya di Negeri Sembilan lalu singgah di Masjid Baharu Benta di sini untuk berehat dan solat sebelum tiba-tiba pengsan.
Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Benta untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.05 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan seorang mangsa lelaki pengsan di Masjid Baharu Benta.
“Mangsa dibawa ke klinik kesihatan berdekatan oleh orang ramai yang berada di masjid itu untuk menerima rawatan.
“Ketika menerima rawatan, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas di klinik Kesihatan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.














