fbpx

Presiden PKBM didakwa terima rasuah di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abu Samah (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan menerima suapan dengan melantik syarikat milik anak dan adik-beradiknya bagi projek bernilai RM48,811.85.

MELAKA – Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mendapatkan suapan berjumlah  RM48,811.85.

Tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Abu Samah, 81, sebagai Presiden PKBM didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila memilih syarikat anaknya, Syarikat Harapan Baiduri Sdn. Bhd. untuk menyediakan sewaan kenderaan logistik berjumlah RM12,750.

Suapan itu dilakukan melalui 13 baucar bayaran mulai 2013 sehingga 2018.

Tertuduh turut didakwa melakukan perkara sama membabitkan syarikat milik adiknya, Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn. Bhd. untuk membuat sewaan rumah inap desa bagi kegunaan atlet berbasikal berjumlah RM36,061.85.

Bayaran itu dilakukan melalui 32 baucar bayaran mulai 2013 sehingga 2018.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat PKBM di sini pada 2013 sehingga 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan RM15,000 dan memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan RM5,000 dengan alasan dia sudah berusia 81 tahun dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sejak dua tahun lalu.

Dia juga merayu agar pasportnya tidak diserahkan kepada mahkamah kerana kerap ke luar negara atas urusan rasmi Persekutuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 14 Julai depan.

Nariman turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan sekiranya dokumen itu diperlukan, permohonan boleh dilakukan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI