JOHOR BAHRU – Seorang guru lelaki berdepan hukuman penjara 131 tahun dan sebatan selepas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mencabul kehormatan murid perempuan dan memiliki bahan lucah antara Januari 2024 hingga Mei lalu.
Tertuduh, Muhammad Amirul Firdaus Awang Meran, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, Hakim Madihah Zainol dan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Masai didakwa lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang murid perempuan ketika mangsa berusia 11 dan 12 tahun semasa kejadian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta di parkir taman permainan di Masai antara 26 Februari 2024 hingga 27 Ogos 2025.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Di Mahkamah Majistret pula, Muhammad Amirul didakwa dua pertuduhan menyimpan bahan lucah di dalam dua telefon bimbitnya di tepi Jalan Seri Wangi 1/1, Taman Perindustrian Pelentong, Masai pada pukul 10.30 malam, 21 Mei 2026.
Bagi kesalahan itu, cikgu lelaki itu didakwa mengikut Sesyen 292(a) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin, S. Manushri dan Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal.
Manakala tertuduh diwakili peguam Nor Zafirah Norizan, Ungku Ahmad Hafiz Ungku Fatil dan Asyikin Syafiqah.
Mahkamah menetap jaminan keseluruhan sebanyak RM19,000 selain memerintahkan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan, dilarang mengganggu saksi serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tarikh 13 Julai ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE














