fbpx

Lima sekeluarga mengaku maki polis didenda RM12,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelima-lima tertuduh diiringi anggota polis selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

MELAKA – Padah menghalang tugas polis dan mengeluarkan kata-kata kesat, lima sekeluarga didenda RM12,500 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nabihah Mohd. Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zakaria Kadir K.V Raja, 60, dan tiga anaknya, Nor Ain, 36, Ahmad Hafizi, 25, dan Ahmad Hafizan, 19, serta menantu Putrawirawan Irwan, 40.

Seorang lagi tertuduh iaitu cucunya berusia 15 tahun turut membuat pengakuan sama, namun mahkamah menangguhkan hukuman dan menetapkan tarikh 4 Julai bagi serahan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama didapati dengan sengaja menghalang tugas empat anggota polis di kawasan kompaun Balai Polis Batu Berendam kira-kira pukul 1 pagi, 26 Mac lalu.

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga anggota polis cuba meleraikan kekecohan yang dicetuskan sekumpulan individu yang berada di dalam kompaun Balai Polis Batu Berendam.

Salah seorang daripada kumpulan berkenaan bagaimanapun telah mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan menyebabkan polis terpaksa manahan kesemua tertuduh.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat rayuan secara berasingan dengan memberikan pelbagai alasan termasuk tidak bekerja, menghidap penyakit kronik dan perlu menyara empat anak yang masih bersekolah, bagi mendapatkan hukuman ringan.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kesalahan dilakukan terhadap penjawat awam adalah serius.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 terhadap setiap tertuduh atau penjara empat bulan jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI