fbpx
Azizul ketika ditemui pada majlis pengebumian anaknya awal pagi tadi.

Bermainlah di taman-taman syurga Angah – Bapa Nur Izzati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – “Saya dan isteri saya menjadi saksi, Angah adalah anak yang terbaik untuk kami. Insya-Allah, bermainlah di taman-taman syurga Angah”.

Itu antara ucapan bapa Allahyarham Nur Izzati Humaira, 19, iaitu Azizul Abdul Aziz, 48, yang ditemukan meninggal dunia selepas sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor pada Sabtu lalu.

Dia juga berkata, Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut tahun-tahun mendatang akan menjadi suatu yang signifikan bagi dirinya dan keluarga.

“Sebenarnya, Hari Raya Aidiladha tahun 2026 ini, mungkin inilah pengorbanan terbesar bagi saya.

“Selepas ini apabila tiba hari raya, kami akan ingat pemergian Angah tetapi apapun, Angah tetap akan hidup dalam hati kami,” katanya di sini hari ini.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas selesai majlis pengebumian anak keduanya itu di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, Sungkai di sini awal pagi tadi.

Pada masa sama, Azizul turut memohon maaf sekiranya terdapat kesalahan melibatkan keluarganya.

“Pada kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan.

“Saya pun cemburu dengan anak saya. Amalan apa yang dibuat, satu Malaysia mendoakan, memberikan ucapan yang positif. Terima kasih semua,” katanya.

Azizul turut berharap agar semua rakyat negara ini terus mendoa Allahyarham selain tidak menyebarkan spekulasi yang tidak sepatutnya.

“Apa yang kita lakukan akan kembali kepada kita nanti. Seterusnya, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi yang memberikan sokongan dan bantuan untuk proses mencari dan menyelamat.

“Terutamanya Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang saya rasa kehilangan ini menyatukan kita.

“Saya ditegur sapa oleh orang Johor, Pulau Pinang yang ingin membantu mencari sehingga terjumpanya anak saya,” katanya.

Media melaporkan, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, mangsa ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada pukul 11.58 tengah hari semalam.

Katanya, mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan berkenaan kira-kira pukul 1.38 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.

Polis mengklasifikasikan kes penemuan Allahyarham sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN