PEKAN – Seorang pegawai polis dan isterinya terkorban selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City di Kilometer 76 Jalan Kuantan-Segamat dekat Paloh Hinai di sini awal pagi ini.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta jenis Proton Wira, Syah Lokman Ludza Ramli, 50, dan isterinya, Nurulfiza Ardiana Amba, 46.
Kejadian turut menyebabkan empat anak mangsa mengalami kecederaan manakala pemandu dan penumpang hadapan kereta jenis Honda City yang mengandung 22 minggu mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku ketika mangsa bersama empat anaknya dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Jempol, Negeri Sembilan manakala kereta jenis Honda City dalam perjalanan dari arah Gelang Patah, Johor menghala ke Terengganu.
“Apabila sampai di tempat kejadian semasa kereta jenis Honda City bergerak lurus tiba-tiba kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Honda City.
“Akibat kemalangan pemandu dan penumpang hadapan kereta jenis Proton Wira disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, empat penumpang kereta jenis Proton Wira yang berumur 10,13, 15 dan 18 tahun serta pasangan suami isteri yang menaiki kereta jenis Honda City mengalami kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.-KOSMO! ONLINE














