PETALING JAYA – “Sakit dada dengar isteri arwah mengucap.”
Demikian luahan seorang wanita yang memaklumkan sendiri berita kematian seorang penunggang motosikal kepada isterinya selepas kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), awal pagi tadi.
Menerusi perkongsian pengguna @hasnina.amelia di Threads, wanita itu mengakui detik tersebut merupakan pengalaman pahit pernah dilaluinya.
“Titik terendah saya awal pagi tadi, hubungi seorang isteri untuk beritahu suaminya meninggal.
“Saya menggeletar, menangis dan mengucap panjang. Sakit dada dengar suara isterinya mengucap sambil nafas tercungap-cungap.
“Arwah kawan baik suami. Suami masih terkejut dan tidak percaya. Allahuakbar Akim, kenapa secepat ini tinggalkan kami semua. Tinggalkan anak yang masih kecil. Semoga Farah tabah dan kuat menghadapi ujian ini,” katanya dalam hantaran tersebut.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang turut menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.
“Sudah tertulis takdir. Semoga Allah mudahkan urusan semua, Amin,” komen seorang pengguna, Nelyn.
“Sedihnya, semoga isteri arwah tabah dan kuat dengan pemergian suaminya,” tulis Syafiqah.
“Saya pun sakit dada membaca kisah isteri arwah. Semoga dipermudahkan segala urusan. Salam takziah atas pemergian sahabat tercinta,” komen seorang lagi pengguna.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kejadian empat penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di LPT1, kira-kira pukul 1.20 awal pagi tadi.
Seorang penunggang dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Toyota Vios sebelum terjatuh di lorong kanan, menyebabkan tiga lagi penunggang tidak sempat mengelak lalu bertembung sesama sendiri.
Akibat kejadian itu, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. – KOSMO! ONLINE















