HULU SELANGOR – Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai lemas selepas dibawa arus di Sungai Nilam, Sungai Selisek, di sini akhirnya terungkai apabila mayat mangsa ditemukan petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, mayat mangsa ditemukan pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada pukul 4.36 petang.
Menurutnya, mayat kanak-kanak berusia 10 tahun tersebut ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mangsa dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus dalam kejadian yang berlaku pada pukul 1.40 tengah hari semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 tengah hari sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan. – KOSMO! ONLINE














