fbpx

Pasaran hartanah Malaysia undervalued

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CORE Residence@TRX memiliki nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion dengan 700 unit kediaman.

KETIKA pasaran hartanah tempatan masih cuba pulih daripada pandemik, ia dilihat menawarkan peluang keemasan bagi pelabur.

Pengarah CCCG Overseas Real Estate Pte. Ltd., juga Pengerusi dan Pengarah Urusan CORE Precious Development Sdn. Bhd., Zhang Bao misalnya, memandang pasaran hartanah di Malaysia sebagai antara yang paling di bawah nilai (undervalued) di rantau ini dan berpotensi menarik pembeli dari seluruh dunia.

Syarikat induknya, CCCG merupakan syarikat Fortune 500 yang berada di kedudukan ke-61 dengan pendapatan RM468.75 bilion.
Menurut Bao, Malaysia digelar sebagai ‘syurga keusahawanan’ dan bakal melahirkan komuniti (bakal pembeli) yang kaya, seterusnya meyokong pasaran hartanah terutamanya dalam segmen mewah.

Kosmo! baru-baru ini berpeluang menemu bual Bao menerusi e-mel yang berbicara tentang pembangunan hartanah pertama CCCG di Asia Tenggara, iaitu CORE Residence@TRX di Kuala Lumpur (KL).

Beliau turut menjelaskan mengenai pelan pertumbuhannya di negara ini, yang bakal bertindak sebagai hab untuk meluaskan perniagaan di Asia Tenggara.

KOSMO!: Boleh kongsi ranca­ngan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perniagaan di Asia Tenggara?
Zhang Bao: Selaras dengan aspirasi kami untuk mempunyai kehadiran lebih kukuh di wilayah pertumbuhan tinggi Asia Tenggara, CCCG akan mengembangkan tenaga kerjanya di rantau ini. Tumpuan kami di sini ialah pasaran kediaman mewah dan menyasarkan komuniti pelabur.

KL akan menjadi hab kami untuk Asia Tenggara memandangkan lokasinya yang strategik, ketersambungan, persekitaran perniagaan kondusif untuk pelabur dan infrastruktur mantap.

Pembangunan hartanah pertama kami di sini, CORE Residence@TRX menerima sambutan hangat walaupun dalam kelembapan ekonomi global, menunjukkan daya tarikan KL sebagai pasaran hartanah, dirangsang oleh lokasi utamanya dan keadaan pasaran yang bertambah baik.

Kami mahu menduplikasikan kejayaan kami di KL kepada bandar-bandar Asia Tenggara yang lain.

Dengan KL sebagai hab, apa pelan syarikat untuk menjadikan pembangunan hartanah lebih bersifat ‘Malaysia’?
Pembangunan hartanah mesti berasaskan permintaan penduduk tempatan dan serantau, ia tidak boleh diambil terus dari negara asal pemaju.

Hartanah ialah aset berat yang tidak boleh dialihkan dan diubah strukturnya sebaik sahaja dibina.

Gaya setiap bandar adalah berbeza, jadi anda perlu menyelaraskan hartanah dengan gaya bangunan tempatan. Jika ia terlalu ‘futuristik’ misalnya, ia tidak akan diterima pelabur kerana tidak sesuai dengan permintaan pembeli tempatan.

CCCG melantik pakar untuk mengkaji dengan teliti persekitaran, pasaran dan tanah lokasi sesebuah projek akan dibangunkan, melibatkan perkembangan dalam radius lima kilometer di sekitar tanah yang dibeli terutamanya dari segi reka bentuk, struktur bangunan, harga dan demografi pembeli.

Produk kami dijual secara global termasuk pembeli dari Amerika Syarikat, Itali, Asia dan Asia Tenggara. Dengan memasarkan produk kami ke pasaran antarabangsa, CCCG juga akan mempromosikan Malaysia kepada rangkaian pembeli yang lebih luas.

Lakaran artis mengenai kemudahan Sky Gym di CORE Residence@TRX, Kuala Lumpur.

Apa pelan untuk berkembang ke Malaysia Timur? Adakah projek semasa CCCG di TRX turut menarik pembeli dari sana?
Kami akan mengkaji untuk berkembang ke Sabah dan Sarawak pada masa depan.

Di Malaysia Timur, pembangunan pusat peranginan atau pangsapuri perkhidmatan yang boleh disewakan lebih sesuai, memandangkan lokasi seperti Kota Kinabalu adalah pusat tarikan pelancong. Pembangunan biasa untuk penginapan persendirian mungkin tidak berdaya maju untuk pasaran sedemikian.

Sekitar 30 peratus pembeli tempatan kami adalah dari Sabah dan Sarawak.

Projek hartanah di KL menyediakan potensi peningkatan harga dan ‘peluang keluar’ yang lebih baik berbanding hartanah di negeri atau bandar lain di Malaysia, memandangkan bekalan pasaran, jumlah urus niaga dan kecairan yang tinggi.

Apa keunikan CORE Residences dan pelan syarikat yang seterusnya?
Reka bentuk pembangunan kami cenderung kepada sesuatu yang lebih praktikal, terutama­nya bagi pembeli Asia.

Kami cuba menjaga keperluan kebanyakan pelanggan menggunakan ruang. CCCG mengutamakan praktikaliti dan tidak berkompromi dengan reka bentuk bangunan.

Selain itu, kami menyasarkan untuk melaksanakan projek baharu pada awal tahun depan, ia­itu dalam segmen mewah di KL. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI