fbpx

Kerja keras berbaloi, Daiyan Trisha beli rumah mewah impian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERKONGSIAN kediaman mewah dua tingkat yang baru sahaja dibeli Daiyan Trisha menuai perhatian dan pujian peminat.

PETALING JAYA – “Terima kasih Ya Allah, cinta hatiku, Kau sangat baik terhadapku. Menjadikan semua impianku nyata.”

Demikian nukilan penyanyi dan juga pelakon Daiyan Trisha bagi menggambarkan betapa rasa syukur atas nikmat rezeki yang dikurniakan Tuhan buatnya sehingga mampu membeli sebuah kediaman mewah landed (bertanah).

Daiyan, 27, dalam perkongsian Instagram memuat naik beberapa keping gambar dan video banglo mewah dua tingkat yang dibelinya.

“Rumah impian saya. Rasa seperti semua kerja keras saya berbaloi. Saya sangat gembira!

“Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat atas segala kasih sayang dan sokongan. Saya tak sabar memulakan perjalanan ini bersama kalian,” katanya.

Sangat bahagia dengan pencapaian yang diraihnya, pelantun lagu Penat itu turut meminta peminatnya mendoakan yang terbaik buatnya dan keluarga.

“Hati saya penuh (dengan kebahagiaan), alhamdulillah. Tolong doakan yang baik-baik ya. Semoga saya dan keluarga sentiasa dilindungi,” ujar Daiyan.

Daiyan yang berkongsi beberapa keping foto memaparkan kawasan sekitar kediaman yang turut dilengkapi kolam renang berkenaan sempat berkongsi momen ketika kali pertama membawa keluarga dan rakan-rakannya melihat rumah tersebut.

Kata Daiyan, mereka melihat kediaman kedua yang dibelinya tersebut sangat dekat dan melambangkan keperibadian serta cita rasa sebenar dirinya.

“Waktu bawa keluarga dan rakan-rakan ke rumah ini atau tunjuk gambar, mereka cakap perkara yang sama. ‘This house is so you’.

“Perkara paling lucu, saya juga rasakan perkara sama. Pertama kali menjejakkan kaki ke rumah ini, saya rasakan ini memang untuk saya. Rumah ini sedang menanti saya,” tulisnya penuh gembira.

Masih dalam proses untuk memasukkan perabot dan mengubah suai kediaman berkenaan, Daiyan berjanji kepada peminat untuk berkongsi perihal tersebut dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Daiyan terlebih dahulu membeli rumah pertamanya iaitu jenis kondominium yang terletak di ibu kota pada 2019 hasil mengumpul wang selama dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI