fbpx

Polis tumpaskan sindiket warga China terlibat pelacuran dan penipuan online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUZIR (kanan) menunjukkan wang tunai kira-kira RM2.5 juta yang dirampas dalam serbuan di Jalan Desa Bukit Tiara 3, Cheras malam tadi.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket warga China yang terlibat dalam kegiatan mempromosikan urus niaga mata wang krypto, pelacuran dan penipuan di negara sendiri dalam dua serbuan di Cheras dan Kajang, Selangor malam tadi.

Serbuan bermula pukul 2 petang hingga 11 malam itu membawa kepada penangkapan 16 suspek membaibitkan 14 warga China dan dua warga tempatan.

Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas wang tunai kira-kira RM2.5 juta dipercayai hasil kegiatan haram itu yang disembunyikan dalam tiga beg pakaian.

Wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan haram yang dirampas polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah kondominium di Kajang yang membawa kepada penangkapan lapan warga China termasuk seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 28 tahun.

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam kegiatan mempromosikan aktiviti pelacuran secara online kepada rakyat di negara mereka sendiri.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 15 buah telefon bimbit, komputer riba (2) yang dipercayai digunakan bagi aktiviti haram mereka,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan tengah malam tadi.

Menurutnya lagi, bertindak atas maklumat pihak polis menyerbu sebuah kediaman mewah di Jalan Desa Bukit Tiara 3, Cheras sebelum menahan enam suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga China.

Turut ditahan dalam serbuan itu seorang lelaki dan wanita tempatan yang berperanan sebagai ‘pegawai perhubungan’ termasuk menyediakan rumah kepada sindiket.

Sebahagian suspek warga China yang ditahan polis.

Jelas Huzir, hasil pemeriksaan ke atas komputer riba yang dirampas dalam serbuan polis mendapati sindiket menjalankan kegiatan urus niaga mata wang krypto dan aktif sejak dua bulan lalu.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan wang tunai kira-kira RM2.5 juta dalam bilik kediaman itu yang disembunyikan dalam beberapa beg pakaian.

“Kita tidak menolak kemungkinan wang itu hasil pengubahan wang haram daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

“Jika wang ini hasil daripada kegiatan halal mesti disimpan di bank bukan didaldam beg sebegini,” katanya.

Turut dirampas dalam serbuan itu dadah jenis sintetik, lima komputer riba, telefon bimbit (4) dan iPad (2).

Tambah beliau, kesemua tangkapan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372b Kanun Keseksaan bagi kesalahan mempromosikan kegiatan pelacuran, Seksyen 4(1)(a), 4(1)(g) dan 4(1)(h) Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI