fbpx

Siti beli kondo di Dubai, Asyraf Khalid jadikan inspirasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEDIAMAN mewah yang dibeli Siti Nurhaliza di Dubai mencetuskan inspirasi buat anak tirinya, Asyraf Khalid.

PETALING JAYA – Pencapaian penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memiliki kediaman mewah pertama di Dubai menjadi inspirasi buat anak tirinya, Asyraf Khalid.

Menerusi Instagram, Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Taruddin berkongsi beberapa video menunjukkan kawasan kediaman jenis kondominium yang dibeli di The Address, Dubai Mall.

“Alhamdulillah,” luah pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu menzahirkan rasa syukur atas kurniaan terindah yang diterima sebelum menutup tirai 2022.

Asyraf atau nama lengkapnya Muhammad Asyraf Khalid, 30, meluahkan rasa gembira dan bangga atas pencapaian ibu tirinya yang membeli rumah di luar negara.

Perkara tersebut turut menjadi pembakar semangat buatnya dan isteri, pelakon serta usahawan Tya Arifin untuk lebih bekerja keras supaya dapat menjadi seperti ibu tirinya itu.

“Tahniah Mak Iti (panggilan untuk Siti) kerana berjaya memiliki kediaman pertama di Dubai. Kami sangat gembira dan berbangga melihat pencapaian awak.

“Ini merupakan satu inspirasi buat saya dan Tya untuk bekerja lebih kuat,” tulisnya dalam hantaran InstaStory.

Tambahnya, dia berharap dapat mengikut jejak langkah Siti dan mendoakan penyanyi serta usahawan itu sentiasa dimurahkan rezeki.

“Doakan satu hari nanti, saya boleh ikut jejak langkah Mak Iti. Saya doakan Allah akan murahkan lagi rezeki ayah dan Mak Iti.

“Mak Iti memang layak menerima semua ini atas kerja keras yang tidak henti-henti,” ujarnya.

Asyraf juga sempat berseloroh tidak perlu membuat tempahan hotel jika berkunjung ke Dubai selepas ini kerana boleh menumpang di rumah tersebut.

“Harapnya selepas ini kalau saya ke Dubai, tidak perlu kami menyewa hotel,” seloroh Asyraf.

Sebelum ini, Asyraf pernah membuat kejutan buat Tya dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah Tesla model Y sempena hari lahir isterinya yang ke-28 dan ulang tahun perkahwinan ketujuh mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI