fbpx
LELAKI bunian dikatakan mengganggu kehidupan seorang wanita selepas lamarannya ditolak.– ILUSTRASI SHAH HASAN

Hidup tak keruan selepas tolak lamaran bunian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DISEBABKAN menolak cinta seorang lelaki bunian lima tahun lalu, kehidupan seorang wanita yang kini tinggal di Felda Chiku 2, Gua Musang, Kelantan diselubungi pelbagai kejadian aneh dan misteri.

Nursyakirin Mustafa, 23, mula diganggu lelaki dari alam ghaib itu ketika berusia belasan tahun dan masih bersekolah menengah sekitar 2017.

Menurutnya, pada ketika itu, dia seperti dalam mimpi didatangi seorang lelaki berpakaian serba putih melamarnya untuk dijadikan isteri, namun menolaknya kerana kehidupan manusia dan bunian berbeza.

“Saya cerita pada arwah bapa tentang kejadian itu. Bapa buat perjanjian, jika mahu kahwin, kena menjelma dalam dunia nyata. Jika gagal tidak boleh berkahwin.

“Lelaki itu tidak dapat menjelma dalam alam nyata dan sejak itulah, saya mula diganggu pelbagai kejadian aneh dan misteri,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, antara kejadian aneh yang dilalui termasuk kening dan rambutnya gugur seolah-olah dicukur menggunakan pisau cukur.

“Ketika itu, saya baru selesai menunaikan solat Isyak di rumah, tiba-tiba tengok ada bulu-bulu terjatuh sebelum saya tengok cermin, kening saya sudah hilang.

Selain itu, katanya, ketika masih belajar dan tinggal di sebuah sekolah berasrama, dia pernah ‘dibawa’ lari lelaki bunian ketika berjalan pulang ke bilik dari surau sekolah.

Kehilangannya disedari rakan sebelum mereka memaklumkan kepada pihak warden asrama dan gerakan mencarinya dilancarkan.

“Semasa berjalan, saya lihat satu jalan bercahaya terang. Saya terus berjalan mengikut cahaya itu dan dunia tiba-tiba gelap.

“Apabila sedar, saya berada di jalan raya berhampiran sekolah dan masa itu, saya rasa badan lemah dan tidak bermaya,” katanya.

Susulan kejadian itu, ahli keluarga Nursyakirin melakukan ikhtiar melalui perubatan Islam dan melakukan rundingan dengan kumpulan orang bunian berkenaan.

Menurut abang Nursyakirin, Maliki Mustafa, 36, orang bunian itu bersetuju untuk tidak mengganggu adiknya sekiranya dia berkahwin dengan nama-mana lelaki di alam nyata.

Katanya, bagi menyelesaikan kemelut itu, keluarga kemudian mencari jodoh sebelum Nursyakirin bertemu pasangannya dan berkahwin pada tahun 2019.

Sejak berkahwin, Nursyakirin tinggal dengan suaminya yang bertugas sebagai anggota tentera di Sarawak dan sejak itulah, dia tidak lagi diganggu lelaki bunian berkenaan.


BEGINILAH keadaan rumah keluarga Nursyakirin yang didakwa dibakar lelaki bunian disebabkan cintanya ditolak.

Namun, tahun lalu, wanita itu mengambil keputusan untuk tinggal dengan ibunya dan mengajar kelas agama di sebuah sekolah. Sejak berjauhan dengan suami, lelaki bunian itu kembali mengganggu hidupnya.

“Seminggu sebelum Aidilfitri lalu, ‘dia’ datang balik dan buat macam-macam termasuk membakar motosikal hingga merebak ke rumah keluarga,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan ibunya dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih sejurus berbuka puasa dan perkara itu dimaklumkan jiran.

Dikejutkan dengan rumah terbakar, sekali lagi katanya, lelaki bunian itu buat onar lagi dengan membakar tempat duduk kereta miliknya, namun api berjaya dipadamkan.

Kejadian aneh dan misteri yang menimpa Nurasyikin tidak terhenti disitu kerana tiga hari sebelum Hari Raya Aidlfitri lalu, dia mendakwa diculik lelaki bunian berkenaan sewaktu berurusan untuk persekolahan anak saudaranya di bandar Gua Musang.

Ceritanya, pada masa itu, dia membawa ibu serta anak saudaranya ke Pejabat Pelajaran Daerah menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora milik abangnya.

Selepas menghantar mereka, dia menunggu di dalam kereta sebelum ‘didatangi’ lelaki berpakaian serba putih mengarahkannya memandu MPV tersebut.

“Selepas selesai berurusan, ibu menghubungi saya selepas mendapati saya tidak berada di tempat sepatutnya.

“Saya pada ketika itu, dalam keadaan tertekan kerana mendapati berada di tepi jalan raya dan cuba menahan kenderaan melalui laluan itu, namun tidak berjaya.

“Semua orang terkejut selepas saya berkongsi lokasi menerusi aplikasi WhatsApp, mereka mendapati saya berada di Mantin, Negeri Sembilan,” katanya.

Apa yang membingungkan, saya hilang di Gua Musang dan jumpa di Mantin dalam masa tiga ke empat jam, sedangkan nak ke sana ambil masa tujuh ke lapan jam.

Dalam pada itu, ahli keluarga sudah melakukan pelbagai ikhtiar supaya Nursyakirin tidak diganggu bunian dan penyelesaian terbaik adalah dia perlu tinggal dengan suami bagi mengelakkannya terus diganggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN