PETALING JAYA – Pengguna setia kemudahan pengangkutan e-hailing meminta syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut agar tidak mengenakan kadar tambang yang tinggi sehingga membebankan golongan tersebut.
Tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan tumpuan di Shah Alam mendapati, rata-rata pengguna lebih memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing berbanding perkhidmatan awam lain.
Namun, jika tambangnya semakin mahal ia akan membebankan orang ramai lebih-lebih lagi pelajar serta golongan yang berpendapatan rendah atau B40.
Seorang kerani di sebuah hospital swasta, Ain Syazwani Azeri, 25, berkata, dia lebih memilih untuk menggunakan e-hailing berbanding perkhidmatan lain kerana tidak perlu menunggu lama untuk pergi ke tempat kerja.
“Saya tidak mempunyai lesen memandu jadi mahu atau tidak saya terpaksa guna perkhidmatan ini supaya saya boleh sampai awal ke tempat kerja.
“Cuma diharapkan agar kadar tambang itu tidaklah dinaikkan terlalu tinggi sehingga menjejaskan pengguna setia seperti saya,” ujarnya ketika ditemui semalam.
Ujarnya, perjalanan dari rumah ke tempat kerja hanya mengambil masa 15 minit jika menggunakan perkhidmatan e-hailing berbanding Transit Aliran Ringan (LRT) yang memakan masa sehingga 40 minit.
Kosmo! semalam melaporkan, orang ramai khususnya mereka yang bekerja di ibu negara melahirkan rasa kurang senang dengan kenaikan mendadak kadar tambang bagi perkhidmatan e-hailing yang didakwa telah meningkat sekali ganda.
Difahamkan, kenaikan kadar tambang itu mula dikesan sejak awal Aidilfitri lalu berpunca daripada peningkatan kos operasi selain permintaan tinggi daripada pelanggan, sedangkan jumlah pemandu e-hailing semakin berkurangan.

Sementara itu, seorang penuntut universiti, Hazwani Syairah Amiruddin, 24, berkata, kini dia tidak perlu bersusah payah untuk mencari kenderaan awam untuk pergi ke kolej.
“Saya susah untuk mendapatkan teksi di sekitar kawasan perumahan sehingga saya terpaksa menggunakan e-hailing kerana ia lebih mudah didapati hanya dengan melakukan tempahan menerusi aplikasi sahaja.
“Jika kadar tambang ini dinaikkan sehingga tidak masuk akal, ia akan membebankan golongan seperti saya yang masih menuntut di universiti dan belum mempunyai pendapatan,” ujarnya.
Tambahnya, meskipun tambang e-hailing yang tidak menentu mengikut kepada jarak anggaran sistem dan anggaran masa trip, namun dia sudah selesa dengan perkhidmatan itu.
“Adakalanya, saya dapat rasakan kesusahan untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut kebelakangan ini.
“Namun, saya tidak pasti sama ada disebabkan oleh kekurangan pemandu atau jalan yang sesak menyebabkan pemandu tidak dapat menyelesaikan pelanggan terdahulu dengan lebih cepat sebelum mengambil pelanggan baharu,” jelasnya.
Sementara itu, di Petaling Jaya, bagi seorang lagi pekerja swasta, Nur Farahuda Abdul Rahim, 31, berkata, dengan adanya kemudahan e-hailing, dia tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari parkir terutama pada hujung minggu.
“Saya lebih gemar menaiki kenderaan e-hailing apabila hendak membuat sesuatu urusan di luar kerana dapat menjimatkan masa berbanding memandu sendiri.
“Kebiasaannya tambang dari Taman Jaya ke Taman Medan hanya RM12, namun pada hari ini (semalam) tambang yang dikenakan naik sehingga RM17 meskipun jarak yang dilalui adalah sama,” luahnya yang tidak kisah keluar tambang lebih untuk menggunakan e-hailing.
Dalam pada itu, seorang pelajar universiti, Fatini Faierul, 24, menjelaskan, dia terpaksa menggunakan khidmat e-hailing kerana tiada pilihan lain.
“Jadi pengguna seperti saya terpaksa membayar apa sahaja kadar tambang yang ditetapkan sekiranya berdepan dengan urusan penting.
“Saya harap pihak berkuasa atau pihak kerajaan mencari jalan menangani isu ini agar pihak pembekal perkhidmatan dan pengguna dalam situasi menang-menang,” tambahnya.














