PETALING JAYA – Permintaan yang tinggi daripada orang ramai ketika kadar penawaran daripada pemandu semakin berkurangan menyebabkan kadar tambang bagi perkhidmatan e-hailing meningkat sehingga 100 peratus.
Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA), Arif Asyraf Ali bagaimanapun berkata, kenaikan kadar tambang itu tidak menambah jumlah pendapatan pemandu memandangkan kos penyelenggaraan, kos sara hidup dan kos-kos yang lain juga semakin meningkat.
Katanya, pendapatan sebenar kira-kira 120,000 pemandu e-hailing termasuk 60,000 yang beroperasi di Lembah Klang tetap sama, di sebalik kenaikan kadar tambang perkhidmatan e-hailing terutama pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
“Keadaan itu meletakkan kadar pendapatan mereka (pemandu e-hailing) masih tidak berubah. Lebihan pendapatan hanya dapat menampung kos yang lebih tinggi ketika ini.
“Kewajaran kenaikan tambang adalah seiring dengan kenaikan kos yang mendadak. Bukan sesuatu yang disengajakan, tetapi pasaran itu sendiri memaksa kadar tambang untuk naik.
“Tambang e-hailing sejak awal adalah berdasarkan penawaran dan permintaan. Tambang dinamik yang dipraktikkan berdasarkan konsep pasaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Arif berkata, penawaran perkhidmatan e-hailing melebihi permintaan menyaksikan kadar tambang yang lebih rendah, malah adakala lebih rendah dari kadar tambang teksi.
Bagaimanapun, katanya, kadar tambang e-hailing boleh meningkat sehingga 100 peratus semasa permintaan melonjak naik sedangkan penawaran pemandu pula menurun ketika itu.
Justeru katanya, kenaikan tambang adalah bergantung kepada keadaan pasaran e-hailing, namun permintaan terhadap perkhidmatan itu masih baik kerana masyarakat memahami keadaan ekonomi semasa.
Seorang pemandu e-hailing, Mohd. Helmi Irwadi Mohd. Nor, 36, berkata, kenaikan kadar tambang berlaku seminggu sebelum hari raya, semasa hari raya dan pada hari raya kedua hingga ketujuh.
Bagaimanapun, dakwanya, kadar tambang kembali normal selepas itu sebelum meningkat semula beberapa hari lalu disebabkan keadaan lalu lintas yang sangat sesak.
“Antara faktor kenaikan adalah disebabkan permintaan meningkat dan kesesakan jalan raya. Kadar tambang wajar naik kerana semasa lalu lintas sesak, penggunaan petrol kenderaan turut meningkat,” tambahnya.














