fbpx

Dos penggalak kedua warga emas, individu berisiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara tersebut adalah syor terkini oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) berhubung pemberian dos penggalak.

“Selain itu, individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama setelah berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

“Remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti pesakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak pertama dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos primer setelah berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, individu yang telah lengkap menerima dos primer vaksin Covid-19 dan diikuti dos penggalak pertama telah terbukti boleh mendapat perlindungan optimum daripada jangkitan yang teruk dan kematian.

“Namun disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu terutamanya kepada individu di dalam kumpulan rentan, risiko masih lagi tinggi bagi kumpulan ini untuk mendapat jangkitan teruk, dimasukkan ke hospital dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

“Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan bahawa pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin berkata, penggunaan ubat antiviral Paxlovid telah dimulakan sejak 15 April bagi merawat pesakit Covid-19 dan sehingga 9 Mei, seramai 173 pesakit yang diberikan rawatan itu sembuh sepenuhya serta tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI