PETALING JAYA – Melihat kesukaran seorang jiran yang memerlukan bantuan ke klinik selepas bersalin menjadi permulaan buat seorang wanita untuk menawarkan servis peneman ke hospital secara sepenuh masa.
Ra’biatul Adawiyah Alias, 29, mengambil keputusan untuk bekerja sebagai peneman warga emas ke hospital sedar ramai golongan memerlukan terpaksa menguruskan janji temu kesihatan secara bersendirian.
Menurutnya, rutin membawa ibu bapanya ke hospital sebelum ini turut membuka mata tentang realiti anak-anak muda yang kini sukar mendapatkan cuti untuk menemani orang tua mereka.
“Idea bermula apabila ada jiran saya yang memerlukan bantuan untuk ke klinik selepas bersalin. Di samping itu memang sudah jadi rutin saya bawa mak ayah ke hospital dan klinik untuk pemeriksaan.
“Melihat situasi di hospital, kadang-kadang ada warga emas yang keseorangan setiap kali saya teman ibu ayah. Ada di antara mereka yang mahu berjalan pun sudah tidak larat. Saya faham anak-anak bekerja susah nak cuti, jadi saya wujudkan servis peneman ini,” katanya.
Menariknya, khidmat yang ditawarkan bukan sekadar menyediakan pengangkutan, malah dia turut bertindak sebagai peneman yang membantu segala urusan pesakit dari mula hingga akhir.
Rutin Ra’biatul Adawiyah merangkumi bantuan memapah pesakit yang sukar bergerak, menguruskan pendaftaran, memantau nombor giliran di kaunter sehinggalah membantu mengambil ubat di farmasi sebelum memastikan mereka pulang ke rumah dengan selamat.
Walau bagaimanapun, wanita cekal ini mengakui tugas tersebut mempunyai cabaran tersendiri terutamanya melibatkan pengurusan masa dan kesabaran yang tinggi.
“Cabarannya bagi saya adalah dari sudut masa menunggu yang memerlukan kesabaran tinggi. Satu lagi adalah kesukaran mencari parkir kerana sedia maklum kawasan hospital biasanya sangat padat,” jelasnya lagi.
Buat masa ini, perkhidmatan tersebut memfokuskan kawasan sekitar Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai, Kelantan bagi memastikan kualiti servis yang diberikan sentiasa terjaga.
Mengenai kadar bayaran, Ra’biatul lebih selesa untuk tidak berkongsi secara umum dan memilih untuk berbincang secara peribadi dengan pelanggan mengikut kesesuaian tugasan.
















