KUALA KANGSAR – Nelayan di sekitar perkampungan di sini bersyukur apabila dapat menjala seekor ikan temoleh atau temelian yang sukar untuk didapati sekarang pada pukul 12 tengah malam tadi di Sungai Perak bersaiz 34.5 kilogram yang dianggarkan berharga RM3,450.
Seorang nelayan, Mohammad Shahrul Buari, 39, menyifatkan ‘rezeki’ itu ibarat bonus kepada komuniti mereka lagi-lagi semasa umat Islam sedang meraikan Hari Raya Aidiladha.
“Boleh dikatakan, ini tangkapan ikan temoleh liar bersaiz besar buat kali pertama selepas berpuluh tahun kerana amat sukar untuk didapati selain sifatnya yang agresif dan sukar untuk ditangkap.
“Ikan ini juga hanya aktif pada waktu sunyi, sama ada awal pagi atau tengah malam. Jadi, kebiasaannya saya dan rakan nelayan lain akan turun ke sungai antara 12 tengah malam hingga 7 pagi kerana peluang untuk mendaratkan temoleh lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya lagi, temoleh bukan ikan yang mudah dipancing kerana tabiat makannya secara menyedut menjadikan ia jarang terkena mata kail.
“Daging ikan temoleh ini rasanya lembut, manis dan padat, jauh lebih enak berbanding spesies sungai yang lain terutama kalau dimasak stim, gulai atau dipanggang.
“Biasanya pelanggan khususnya kaum Cina dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pahang sanggup datang ke sini sekiranya ada bekalan ikan ini kerana tekstur daging yang sesuai dijadikan hidangan stim,” katanya. – KOSMO! ONLINE














