Oleh RASDAN AHMAD, NURUL AIN NATASHA MAZLAN, MOHD. SHARKAWI LONDING dan NORHAFIZAN ZULKIFLI
PETALING JAYA – Orang ramai berpeluang untuk merasai kembali kenikmatan masakan Siam khususnya tomyam apabila lebih 2,000 tukang masak dari Thailand mula memasuki Malaysia untuk bekerja di restoran dan kedai-kedai makan di seluruh negara.
Kemasukan semula tukang masak dari Thailand yang bermula sejak minggu lalu itu ekoran pembukaan sempadan kedua-dua negara selepas ditutup selama lebih dua tahun bagi membendung penularan Covid-19.
Sebelum ini, dianggarkan lebih 10,000 tukang masak pulang ke Thailand sehingga perniagaan kedai makan dan restoran terjejas teruk ekoran penutupan pelbagai sektor ekonomi.
Difahamkan, terdapat kira-kira 3,000 hingga 4,000 kedai tom yam di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan tukang masak dari negara berkenaan.
Pengerusi Persatuan Peniaga Tomyam Melayu Johor Bahru, Mustapha Ismail, 50, berkata, di Johor sahaja, seramai lebih 1,000 tukang masak Siam akan kembali bekerja di negeri itu bermula semalam.
Katanya, kebanyakan daripada mereka berasal dari Pattani, Narathiwat serta Yala dan akan berkerja di 250 buah kedai tomyam di Johor.
“Saya pasti ramai yang merindukan air tangan mereka selepas dua tahun kedai sunyi tanpa tukang masak dari Thailand.
“Ramai yang sedang menunggu giliran untuk memasuki Malaysia, namun ia harus dibuat secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, pembukaan semula sempadan negara jelas memberi khabar gembira buat kumpulan berkenaan untuk kembali bekerja selepas dua tahun gulung tikar sehingga ada yang kehilangan sumber pendapatan.
“Sebaik pulang ke Thailand, sumber rezeki mereka terjejas. Ada yang hanya bercucuk tanam, berkebun dan menjadi nelayan,” jelasnya.
Di Lembah Klang, pekerja terdiri daripada tukang masak dan pembantu kedai makan dari Thailand mula memasuki sempadan negara sejak Jumaat lalu.
Difahamkan, mereka yang akan berkerja di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor memasuki negara ini secara berperingkat selepas cuti Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 2 Mei hingga 6 Mei melalui pintu sempadan di Kelantan.
Pemilik Restoran Sawaddi Tom Yam, Rahana Mat Yasin, 52, berkata, sejak Jumaat lalu, tiga pintu sempadan iaitu Pengkalan Kubor, Bukit Bunga serta Golok sudah mula dimasuki oleh para pekerja terbabit.
“Memang mereka sudah mula masuk selepas dua tahun terperangkap di sana. Mereka juga sudah tidak sabar untuk memulakan tugas di sini.
“Selama ketiadaan mereka, saya sendiri bersama suami yang perlu menyediakan makanan untuk pelanggan,” katanya.
Tambahnya lagi, kelonggaran yang diberikan kerajaan yang tidak mewajibkan orang luar untuk lengkap vaksin bagi memasuki negara ini turut membuka peluang kepada lebih ramai tukang masak dari Thailand memasuki Malaysia.
“Saya tidak pasti jumlah kehadiran mereka, tetapi dijangka beribu orang akan mula memenuhi sektor kedai makan ini,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE















