fbpx
BERPELUANG bersalaman dan berhari raya dengan anak dan cucu antara detik yang dinantikan setiap warga emas yang memiliki zuriat. – GAMBAR HIASAN

Pendam rindu beraya dengan anak, cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali tibanya Hari Raya Aidilfitri Pak Amin (bukan nama sebenar) pasti akan merindui anak-anak serta cucu-cucunya.

Namun, kerinduan itu hanya boleh dipendam kerana dia kini menghabiskan sisa-sisa hidupnya di rumah jagaan orang tua.

“Saya merindui anak-anak dan cucu-cucu saya terutamanya menjelang hari raya.

“Sepanjang enam tahun tinggal di rumah jagaan orang tua, saya langsung tidak pernah dibawa pulang oleh anak-anak untuk menyambut hari raya bersama,” katanya yang kini berusia pertengahan 70-an.

Pak Amin menjelaskan, setelah kematian isterinya hampir 10 tahun yang lalu, hidupnya tidak terurus dan berhadapan dengan masalah kesihatan.

Setelah dia menghadapi masalah strok, anak-anaknya mula memberi alasan untuk menjaganya.

“Saya mempunyai empat orang anak. Tetapi saya berasa mereka langsung tidak mempedulikan saya.

“Setelah kematian isteri, saya telah tinggal dengan anak sulung saya. Namun, disebabkan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik membuatkan saya tidak boleh bergerak,” jelasnya.

Tambahnya, dia perlu dibantu untuk mandi dan juga membuang air besar.

Kerana masalah yang dihadapinya itu, anak sulungnya sering bertengkar dengan isterinya dalam menguruskan dirinya.

Pak Amin berasa dia yang menjadi punca kepada pertengkaran tersebut.

“Saya tidak tahan mendengar mereka bertengkar dan kasihan melihat cucu-cucu saya apabila mereka melihat ibu bapa mereka bergaduh kerana saya.

“Oleh kerana anak-anak yang lain juga seakan tidak mahu menjaga saya, saya kemudian meminta mereka menghantar saya ke rumah jagaan orang tua,” katanya.

Tambahnya, tiada seorang pun anaknya yang menghalang dirinya daripada tinggal di pusat jagaan tersebut.

Pak Amin ternyata terkilan kerana sepanjang di situ, anak-anaknya juga jarang mengunjunginya.

Dia tidak menyangka anak-anaknya tega berbuat demikian kepadanya.

“Sejak mereka kecil saya memberi sepenuh kasih sayang kepada anak-anak.

“Apa sahaja kemahuan mereka saya turuti, namun setelah masing-masing besar dan berkeluarga mereka sanggup mengabaikan saya di sini,” tuturnya.

Dalam pada itu, Pak Amin berasakan perkara itu adalah hukum karma buatnya kerana pernah mengabaikan kedua-dua orang tuanya dahulu.

“Mungkin ini adalah hukuman dunia oleh Tuhan kepada saya.

“Saya mengakui saya juga pernah mengabaikan kedua-dua orang tua saya sewaktu mereka masih ada kerana terlalu mengikut cakap bini,” dedahnya.

Malah setiap kali Aidilfitri, dia memilih untuk beraya di kampung halaman isterinya.

“Saya melepaskan tanggungjawab sebagai seorang anak untuk menjaga orang tua saya sehingga mereka menghembuskan nafas terakhir.“Pada ketika itu, adik saya di kampung yang banyak melaksanakan tanggungjawab tersebut dan saya membiarkannya menguruskan ibu bapa yang lanjut usia kepadanya seorang sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, kini, barulah Pak Amin mengerti bagaimana perasaan kedua-dua ibu bapanya dahulu apabila dia melepaskan tanggungjawab untuk berbakti kepada mereka ketika hayat mereka masih ada.

POPULAR