KEMERIAHAN sambutan Hari Raya Aidilfitri masih dirasai oleh umat Islam di negara ini apabila hampir setiap malam masih kedengaran letupan mercun dan bunga api di merata tempat.
Tidak terkecuali di kawasan tempat tinggal penulis, masih lagi meriah bunyi bunga api dan mercun meskipun Syawal sudah berlalu lebih seminggu.
Itulah perangai ‘orang kita’, selagi belum habis bulan Syawal, selagi itulah ‘perang’ mercun dan bunga api ini tidak akan berakhir.
Meskipun perbuatan itu dilihat ‘membakar duit’, tetapi ramai tidak kisah malah mereka seronok apabila ada yang cuba ‘melawan’.
Tetapi dalam keseronokan bermain bunga api dan mercun ini, beberapa perkara yang penulis agak terkilan apabila berlaku musibah yang tidak diingini seperti insiden kebakaran.
Bukan sahaja berbahaya, tetapi ia agak ‘menyusahkan’ anggota bomba yang terpaksa bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran yang sengaja dicetuskan oleh pihak yang suka membakar mercun dan bunga api.
Buktinya dalam seminggu, kita dapat saksikan beberapa laporan media berkenaan kebakaran akibat bermain bunga api dan mercun di premis-premis perniagaan dan juga rumah penduduk.
Ironinya, insiden ini boleh dielakkan sekiranya kita pandai mengawal kelakukan semasa bermain mercun dan bunga api.
Sudah sampai masanya, kerajaan perlu mengkaji semula kebenaran penjualan bunga api dan mercun serta menguatkuasa undang-undang sedia ada supaya insiden kebakaran akibat bahan tersebut dapat dikurangkan.
Memetik perkongsian oleh Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow, terdapat pelbagai jenis peruntukan undang-undang yang jelas untuk mengawal selia aspek penyeludupan, penjualan serta permainan mercun.
Malah katanya, usaha pemantauan juga harus dilakukan terhadap media sosial yang dilihat boleh digunakan untuk menjual atau mempromosikan bahan mercun kepada orang ramai.
“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu melakukan usaha pemantauan terhadap isu terbabit terutamanya menjelang sambutan perayaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan saluran media terbabit.
“Adalah penting untuk semua pihak ketahui bahawa segala undang–undang yang mengawal penggunaan mercun yang masih berkuat kuasa dalam negara kita bukan bertujuan menyekat kemeriahan sesebuah perayaan tetapi untuk mengelakkan kemalangan atau kemudaratan daripada berlaku kepada semua pihak,” tegasnya.
Bagi penulis, kita boleh meraikan kedatangan Syawal dengan bermain bunga api dan mercun, tetapi berpada-padalah. Tak perlulah sampai berlawan dan menunjukkan ego masing-masing sehingga insiden tidak diingini berlaku.
Bukankah pada waktu ini kita sepatutnya berjimat cermat dalam menguruskan wang yang kita ada?
Bila minyak naik, tahu pulak kita ‘memekak’ merungut salahkan kerajaan, tetapi bila berhabis duit dengan membakar mercun, tidak pula kita rasa ia satu pembaziran.
Jadi fikir-fikirlah, tidak selamanya kita berada pada kehidupan yang selesa. Bak kata orang tua, sediakan payung sebelum hujan.














