MUAR – Seorang murid lelaki tahun enam melecur selepas mercun yang dipercayai dibawa ke sekolah meletup semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa yang berusia 12 tahun dipercayai membawa bahan letupan itu sebelum berlaku letupan sehingga mencetuskan suasana panik dalam kalangan warga sekolah.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan murid berkenaan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati murid tersebut mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan dan diberikan rawatan oleh pihak hospital.
“Penilaian awal oleh pihak psikiatri turut dijalankan sebelum kanak-kanak itu dibenarkan meneruskan rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Unit Pemusnah Bom turut menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian, selain pemeriksaan oleh pasukan Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Raiz Mukhliz berkata, setakat ini seramai enam saksi memberi keterangan dan pihaknya masih mengesan saksi lain yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian bagi mmbantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
















