IPOH – Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang dipercayai membakar mercun di atas jalan raya di Jalan Kuala Kangsar di sini, seperti yang tular menerusi satu video di media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
Bagaimanapun katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
“Kita memandang serius perkara ini kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana sambutan perayaan perlu dilakukan di tempat yang tidak mengganggu pengguna jalan raya atau masyarakat umum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Video kejadian yang tular sejak Isnin itu mencetuskan kebimbangan orang ramai berikutan tindakan bermain mercun di kawasan jalan raya yang menjadi laluan pengguna lain.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan berkenaan kerana dianggap tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang bahaya kepada orang awam. – KOSMO! ONLINE
















