Bulan Syawal bukan sekadar bulan kemenangan buat umat Islam, tetapi turut membawa bersama satu tradisi yang cukup istimewa iaitu rumah terbuka.
Dalam kebimbangan orang ramai mengenai kos sara hidup yang semakin mencengkam, dalam rungutan harga barang yang kian meninggi, satu perkara tetap kekal dalam jiwa rakyat Malaysia, sifat pemurah yang sukar ditandingi.
Lihat sahaja suasana di kampung mahupun di bandar. Pintu rumah terbuka luas, meja dipenuhi juadah dan tetamu datang silih berganti tanpa henti. Tidak kira saling mengenal atau tidak, semua dilayan dengan senyuman.
Malah, setiap hujung minggu bulan Syawal ibarat hari pesta yang diraikan seluruh rakyat. Dari pagi hingga ke lewat malam, jalan raya dipenuhi kenderaan berpusu-pusu memenuhi jemputan demi sebuah silaturahim.
Ada yang menganjurkan rumah terbuka sambil meraikan perkahwinan anak, ada juga yang berkongsi rezeki di rumah baharu untuk acara makan-makan bersama teman-teman.
Inilah wajah sebenar masyarakat kita, tidak berkira soal rezeki apabila tiba musim perayaan. Menariknya, tradisi ini bukan sekadar budaya turun-temurun, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada identiti nasional.
Rumah terbuka juga bukan hanya milik umat Islam, malah menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara kaum. Di sinilah jiran, rakan sekerja dan sahabat berlainan latar belakang duduk semeja, berkongsi makanan dan cerita.
Hakikatnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, ramai yang mungkin berfikir dua kali untuk berbelanja lebih. Namun apabila tiba Hari Raya Aidilfitri, pertimbangan itu seolah-olah diketepikan. Yang penting, tetamu tidak pulang dengan perut kosong. Biar lauk sederhana, asalkan cukup dan diberkati.
Ada yang sanggup berbelanja lebih, memasak pelbagai hidangan walaupun jumlah tetamu tidak menentu. Ada juga yang memilih konsep potluck, berkongsi rezeki bersama-sama. Apa pun caranya, semangatnya tetap sama yakni memberi tanpa mengira.
Fenomena ini sebenarnya mencerminkan kekuatan sosial yang jarang kita hargai. Di saat dunia semakin individualistik, rakyat Malaysia masih berpegang kepada nilai kebersamaan. Kita mungkin berbeza pendapat dalam banyak perkara, tetapi apabila tiba soal menjamu orang, kita bersatu.
Tidak dinafikan, ada juga yang memilih untuk bersederhana atas kekangan kewangan. Namun, itu tidak menghalang mereka untuk tetap membuka pintu rumah. Secawan air dan sepinggan biskut sudah cukup menjadi tanda penghargaan kepada tetamu yang datang.
Dalam erti kata lain, rumah terbuka bukan sekadar tentang makanan. Ia adalah simbol keikhlasan, tanda kasih sayang dan ruang untuk memperbaiki hubungan yang mungkin renggang. Di sinilah nilai sebenar Aidilfitri terserlah iaitu kembali kepada fitrah, saling memaafkan dan berkongsi rezeki.
Justeru, dalam kita membicarakan soal tekanan hidup dan beban ekonomi, jangan kita lupa bahawa rakyat negara ini masih kaya dengan nilai kemanusiaan. Pemurah bukan kerana berlebihan, tetapi hati yang tidak pernah sempit.
Akhirnya, tradisi rumah terbuka ini perlu terus dipertahankan. Selagi ada kemampuan, teruskanlah memberi dan berkongsi. Kerana di situlah terletaknya kekuatan sebenar kita sebagai sebuah masyarakat.














