fbpx
Abd. Razak mempunyai ketinggian 140 sentimeter, berat 50 kilogram, berambut putih serta badannya bongkok.

Lima bulan hilang, di mana Atuk Razak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Kehilangan seorang warga emas, Abd. Razak Abd. Rahman, 89, dari Kampung Rambung Batu Tujuh, Jalan Kroh di sini, sejak lima bulan lalu, masih menjadi misteri.

Menantunya, Norlaili Ahmad, 64, berkata, dia bersama suami, Mohammad Abd. Razak, 65, serta anak-anak dan ahli keluarga lain tidak pernah berhenti berusaha mencarinya sejak lelaki itu hilang pada 11 Oktober tahun lalu.

“Kami sangat terasa kehila­ngannya, tambahan pula bapa masih tiada di sisi kami pada hari raya ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa anak dan cucunya turut bermimpi didatangi Abd. Razak yang seakan-akan memberi petunjuk mengenai keberadaannya.

“Dalam mimpi salah seorang cucunya, datuknya muncul dan apabila ditanya, datuknya kata pergi ke Mekah.

“Berdasarkan ikhtiar rawatan tradisional pula, ada yang kata bapa masih berada di rumah lama yang pernah didiaminya sebelum berpindah ke rumah kami,” ujarnya.

Katanya, ada juga yang mendakwa warga emas itu berada di alam ghaib bersama bunian dan sedang mengajar al-Quran.

“Bapa dikatakan memakai jubah putih dan begitu juga anak-anak muridnya,” katanya.

Menurutnya, mereka juga pernah mencarinya di kaki bukit berhampiran rumah selepas dimaklumkan oleh saudara yang berikhtiar secara tradisional.

“Kami pergi ke sana dua kali dan mencarinya sambil berzikir serta berdoa, tetapi masih tiada perkembangan,” ujarnya.

Katanya, ada juga pihak yang mendakwa bapa mentuanya telah ‘diambil’ seseorang dan dibawa pergi jauh serta mungkin akan dipulangkan semula kepada keluarga tahun depan.

“Kami juga pernah diberitahu bapa berada di tepi pokok besar atau tersorok di dalam sungai, namun apabila kami mencarinya secara berkumpulan di lokasi itu, tetap tidak jumpa.

“Baru-baru ini kami jumpa seorang ustaz yang mencadangkan supaya kami buat solat ghaib.

“Seorang lagi ustaz sarankan kami buat solat hajat selepas genap setahun nanti,” ujarnya.

Katanya, sehingga kini mereka hanya meneruskan amalan berdoa, membaca al-Quran, solat hajat dan membaca yasin dengan harapan Abd. Razak ditemukan atau pulang dengan selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN