fbpx

Penghijrahan kembali kepada kehidupan asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEMINGGU dari sekarang umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Berbeza berbanding 12 bulan lalu, tiada darurat kali ini. Tiada larangan pergerakan. Tiada larangan rentas daerah dan negeri. Tiada sekatan jalan raya di segenap pelosok negara sehingga nyamuk sendiri sukar terlepas.

Penulis sendiri tidak dapat melawat ibu sendiri di Shah Alam kerana patuh kepada peraturan walaupun dapat ke tempat kerja di Petaling Jaya setiap hari.

Media bebas bergerak bagi melaporkan mengenai darurat, satu tempoh yang akan tercoret dalam sejarah negara sebagai ‘masa gelap’. Darurat yang memanjangkan umur kerajaan.

Keadaan kini sangat berbeza. Pasar raya dipenuhi ramai orang. Ibu bapa sibuk membeli baju Melayu dan kurung untuk anak-anak. Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Bangi kembali mendapat sinarnya seperti sawah diserang bena perang. Kedai-kedai dipenuhi pengunjung yang akan mengakhiri ibadat puasa seminggu lagi.

Pertama kali dalam hampir dua tahun, keadaan kembali seperti asal kecuali memakai pelitup dan MySejahtera. Peniaga paling gembira dan menarik nafas lega. ‘MyDuitRaya’ telah kembali memasuki kedai masing-masing.

Seperti sebelum tragedi Covid-19, sambutan hari raya adalah masa perniagaan paling lumayan dalam setahun. Dengan 63 peratus daripada 32 juta penduduk negara ini beragama Islam, ia menjadi sambutan keagamaan paling besar di Malaysia. 20.16 juta rakyat menyambut 1 Syawal.

Jika setiap orang berbelanja RM300 seorang untuk apa-apa sahaja pembelian daripada kuih kepada baju Melayu, songkok dan langsir sehingga kasut dan lemang, rakyat negara ini akan mencurah kira-kira RM6 bilion kepada ekonomi negara. Satu tudung sudah berharga RM200. Jadi perbelanjaan raya pasti lebih besar.

Itu tidak termasuk perbelanjaan perjalanan 12 juta rakyat yang akan menemui mereka tersayang. Dianggarkan dua juta kenderaan akan menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan menggunakan RFID dan SmartTag.

Perbelanjaan tol sahaja akan mencapai RM100 juta dalam seminggu sambutan Aidilfitri. Itu tidak termasuk mereka berbelanja besar sehingga membayar tiket kapal terbang sama kos seperti untuk terbang ke London untuk perjalanan ke Tawau. Mereka yang naik bas dan kereta api selain kenderaan sendiri menjadikan Aidilfitri ‘migrasi manusia’ terbesar di Malaysia.

Ya, ia perasaan berbeza apabila melihat gedung beli-belah sibuk dengan aktiviti. Anak-anak kecil mengena dan mencuba pakaian raya. Ibu bapa girang mencari sesuatu untuk anak masing-masing dan diri mereka.

Ia seperti tragedi yang bermula lebih dua tahun lalu seperti satu mimpi ngeri singkat. Bahawa kira-kira ada 35,400 batu nisan yang menjadi bukti virus yang menterbalikkan dunia sejak kes pertama Covid-19 dikesan di China seperti tidak berlaku.

Tempoh 28 bulan lalu menjadi pengajaran terutama kelemahan kerajaan menangani pandemik, sistem kesihatan rapuh termasuk di Malaysia dan ketiadaan jaringan sosial menyelamatkan rakyat terkesan. Apa yang berlaku sejak 28 bulan lalu adalah satu tragedi.

Tetapi Aidilfitri adalah permulaan proses pemulihan kehidupan, penghijrahan kepada kehidupan asal yang kita ingat dan hargai. Ia masa untuk kita kembali kepada asal yang menjadikan dunia dan kehidupan ini lebih bermakna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI