KANGAR – Seorang pelarian perang Rohingya menolak dakwaan kononnya etnik itu menerima layanan buruk di Malaysia, sebaliknya menyifatkan negara ini sebagai tempat yang memberinya peluang untuk membina kehidupan baharu dengan lebih selamat dan terjamin.
Mohamad Sadek Roshid Ahmad, 34, berkata, dia tidak mengetahui perkara sebenar yang dimaksudkan oleh pihak yang membuat dakwaan tersebut, namun pengalaman hidupnya sendiri membuktikan Malaysia banyak membantu golongan pelarian.
“Syukur alhamdulillah, saya dapat hidup dengan selesa di Malaysia. Di sini saya dapat bekerja, menjaga keluarga dan hidup aman tanpa gangguan serta ancaman nyawa.
“Kediaman di sini juga lebih selesa berbanding apa yang saya lalui ketika menjadi pelarian perang. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang membantu kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Mohamad Sadek, dia melarikan diri dari Myanmar sebelum melalui pelbagai kesukaran termasuk tinggal selama beberapa bulan di hutan tebal di Thailand bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.
“Selepas itu saya masuk ke Malaysia melalui laluan laut dari sempadan Thailand pada tahun 2012 sebelum menetap di Perlis setahun kemudian. Saya pernah ditahan pihak berkuasa di Kangar dan dipenjarakan kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah sebelum berjaya mendapatkan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” ujarnya.
Katanya, kad UNHCR itu membolehkannya tinggal di negara ini selain bekerja bagi menyara kehidupan bersama keluarga. – KOSMO! ONLINE














