PORT DICKSON – Seorang warga emas yang patah kaki kanan selepas ditanduk seekor lembu korban mengamuk di Masjid Kampung Teluk Pelanduk, Rabu lalu tidak serik untuk uruskan ibadah korban pada masa depan.
Mangsa, Muhd. Sanit Husdan, 61, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi pada Hari Raya Aidiladha pertama ketika lembu kedua sedang disiapkan untuk ditumbangkan.
Jelasnya, ketika itu dia hanya mahu menunjukkan cara pengendalian lembu kepada beberapa anak muda yang terlibat dalam program korban tersebut.
“Saya duduk bawah pokok. Saya tak perasan macam mana lembu itu tiba-tiba berdepan dengan saya. Bila nampak dia datang, saya cuba mengundur ke belakang elak, tetapi dia sempat menyondol saya sehingga terjatuh ke dalam longkang.
“Kali pertama dia sondol saya terus masuk longkang dalam keadaan mengiring. Kali kedua dia hanya sempat terkena sedikit sahaja sebelum orang ramai datang membantu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Ujar Muhd. Sanit berkata, sepanjang lebih empat dekad terlibat dalam urusan korban sejak zaman bujang, kejadian itu merupakan pengalaman pertama yang menimpanya.
“Setiap tahun saya terlibat menguruskan korban. Dari muda sampai sekarang, inilah kali pertama saya mengalami kejadian seperti ini kena tanduk lembu mengamuk. Dah ditakdirkan begitu,” katanya.
Ujarnya, faktor usia menyebabkan rawatan pembedahan memasukkan besi pada bahagian yang cedera tidak dapat dilakukan kerana dikhuatiri memberi risiko kepada kesihatannya.
“Doktor minta saya banyak berehat dan menjalani fisioterapi. Kaki kanan patah dan cedera di hampir semua di bahagian kanan badan. Memang sakit terutama bila nak bernafas masih terasa sampai ke tulang rusuk,” katanya.
Mengulas mengenai penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, Muhd. Sanit berkata, insiden tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang kepada masyarakat.














