fbpx

Rebut diskaun sebelum 30 April 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Melalui insentif diskaun yang ditawarkan, pelanggan PTPTN dapat menikmati penjimatan yang membolehkan mereka menabung atau menguruskan perbelanjaan dengan baik. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Berbaki 10 hari sahaja lagi, para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpeluang menikmati insentif diskaun bayaran balik pinjaman seperti yang diumumkan sebelum ini.

Insentif tersebut akan berakhir pada 30 April ini dan para pemimjam diseru supaya segera merebut peluang keemasan itu.

Berdasarkan rekod sejak insentif itu diperkenal pada 1 November tahun lalu, seramai 367,433 peminjam telah menikmati insentif diskaun bayaran balik ini sehingga 28 Februari lepas.

Jumlah bayaran balik yang diterima PTPTN adalah sebanyak RM755.28 juta dengan jumlah diskaun yang diberikan kira-kira RM112.4 juta.

PTPTN berharap semua peminjam dapat melaksanakan tanggungjawab untuk membuat bayaran balik pinjaman mereka bagi memastikan PTPTN dapat meneruskan pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang.

Melalui pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021 lalu, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan insentif diskaun bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022.

Antara insentif tersebut adalah diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

Selain itu, PTPTN turut menawarkan diskaun 12 peratus untuk bayaran balik sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Manakala diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Pelbagai kemudahan saluran bayaran balik telah disediakan termasuklah secara dalam talian yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Antara saluran bayaran balik yang boleh digunakan adalah melalui perbankan internet, JomPAY, MyPAY, Shopee, Portal Rasmi PTPTN (FPX) dan yang terkini melalui aplikasi mobile app myPTPTN.

PTPTN juga sentiasa komited dan bersedia untuk membantu peminjam yang mempunyai sebarang persoalan melalui inisiatif #PTPTNSediaBantu.

Sementara itu, bagi seorang kakitangan awam, Syazwana Adon, 34, berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan dan pihak PTPTN kerana menyediakan insentif tersebut kepada pemimjam.

Tambah dia, dengan adanya insentif tersebut dapatlah dia berjimat dan menyelesaikan baki hutang dengan lebih cepat berbanding bayaran secara bulanan potongan gaji.

“Sebelum ini saya buat bayaran melalui potongan gaji bulanan, tetapi selepas kerajaan umum adanya insentif ini, saya mengambil peluang ini untuk membuat bayaran penuh.

“Berbaloi- baloi sebab sebelum ini baki pinjaman saya sekitar RM16,000 dan selepas adanya insentif ini saya hanya membayar kira-kira RM13,000 dan dapat berjimat sekitar RM3,000,”kata graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Turut mengambil peluang atas insentif berkenaan adalah seorang lagi bekas peminjam, Wong Jia Mun, 25.

Menurut kakitangan swasta itu, insentif berkenaan patut diteruskan pada masa hadapan kerana ia banyak membantu bekas pemimjam membayar pinjaman secara sekali gus dan pada masa sama membantu PTPTN mengumpul semula dana untuk membantu generasi akan datang.

“Bagus insentif seperti ini diteruskan kerana ia boleh memberi peluang kepada pemimjam untuk membayar hutang kerana jika tiada diskaun mungkin ramai yang tidak mampu untuk membayar sekali gus,”katanya.

Sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di 03 – 2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi sehingga hingga 5 petang.

Selain itu, PTPTN juga boleh dihubungi menerusi live chat di www.ptptn.gov.my, e-Aduan https://eaduan.ptptn.gov.my/. atau menerusi eksekutif pemasaran PTPTN di https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI