fbpx

Lelaki maut kereta dipandu langgar besi penghadang jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan di Kilometer 17.3 Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) Arah Utara dekat Nilai, Seremban petang tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA

SEREMBAN – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah dalam nahas di Kilometer 17.3 Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) Arah Utara dekat Nilai di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhamad Sofian Sahar, 25, manakala mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Nurazlin Azhar, 25.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa kereta Proton Persona yang dipandu Muhamad Sofian dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Nilai. Apabila sampai di lokasi kejadian, di susur masuk ke Nilai, pemandu dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala manakala penumpang hadapan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk dapatkan rawatan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik HTJ bagi tujuan bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI