fbpx

KSM, KPT lancar Inisiatif Microcredential HRD Corp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan (empat kanan) bersama Noraini (tiga kiri) melancarkan Microcredential HRD Corp di Hotel Le Meridien, Putrajaya hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Lebih tiga juta tempat latihan kelayakan mikro ditawarkan dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi Inisiatif Microcredential Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Inisiatif dibangunkan hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu menawarkan peluang pendidikan secara atas talian khusus untuk rakyat di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif ini akan dilaksanakan menerusi gabungan kursus yang ditawarkan oleh penyedia latihan, pemain industri, badan profesional dan institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, semua kursus latihan yang didaftarkan di bawah HRD Corp akan ditukar menjadi kursus kelayakan mikro menjelang Jun 2022.

“Kami menyasarkan untuk menawarkan 50,000 tempat latihan kelayakan mikro kepada rakyat Malaysia menjelang penghujung 2022.

“Inisiatif ini akan menjadi harapan baharu rakyat Malaysia bagi mendapatkan peluang pendidikan jangka pendek khusus buat mereka yang tiada kelayakan pendidikan sehinggalah ke peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD),” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran inisiatif itu hari ini.

Katanya, ketika ini, HRD Corp mengendalikan hampir 10,000 kursus kelayakan mikro merentasi 24 bidang kemahiran.

Saravanan berkata, pensijilan atau kelayakan yang disediakan inisitif ini akan membolehkan individu memperoleh kelayakan yang diiktiraf secara rasmi menerusi model pembelajaran yang fleksibel.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, inisiatif itu dilaksanakan mengikut garis panduan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI