fbpx

Rezeki berganda pengusaha lemang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TALIB (kiri) bersama rakannya menunjukkan lemang yang telah ditempah pelanggan di gerai jualannya di Taman Desa Kiara, Seremban.

SEREMBAN – Selepas lebih dua tahun negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, tahun ini pengusaha lemang mulai sibuk menerima tempahan makanan popular itu daripada orang ramai.

Salah seorang pengusaha, Ta­lib Ibrahim, 63, berkata, sepanjang Ramadan kali ini, pihaknya menjangkakan sebanyak 25,000 batang lemang akan dijual dan jumlah berkenaan dijangka me­ningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Kehadiran Ramadan sememangnya dinantikan umat Islam seluruh negara apatah lagi ini tahun pertama pelbagai kelonggaran diberikan kerajaan di saat negara beralih ke fasa peralihan ke endemik.

“Alhamdulillah, hari pertama dan kedua berniaga kita telah terima tempahan hampir 2,000 batang lemang,” katanya ketika ditemui di gerai lemangnya di Taman Desa Kiara, di sini semalam.

Talib yang mengusahakan perniagaan lemang itu sejak enam tahun lalu memberitahu, Ramadan sebelum ini jualannya merosot kerana orang ramai hanya duduk di rumah, namun kemeriahan tahun ini berbeza.

“Insya-Allah tahun ini, diharap­kan jualan lebih baik daripada dua tahun sebelum ini di mana ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jualan merosot hampir 50 peratus,” ujarnya.

Menurut Talib, walaupun berlaku kenaikan harga bahan mentah bagi santan dan pulut, tetapi dia tidak menaikkan harga serta mengekalkan sukatan bagi mendapatkan kualiti rasa yang sama.

“Persiapan awal dilakukan dengan menempah buluh dari Jelebu dua minggu lalu.

“Harga yang dijual tetap sama iaitu antara RM12 hingga RM15 bagi satu batang lemang bergantung kepada saiz.

“Biasanya sehari kita guna 60 kilogram beras pulut boleh dapat sekitar 200 batang lemang, tetapi hari pertama kita dapat sambutan menggalakkan tempahan 1,000 batang lemang,” katanya.

Talib yang berasal dari Kedah dan telah menetap 28 tahun di Seremban menjalankan perniagaan lemang itu setiap tahun turut menjual rendang ayam dan daging ‘Negeri Sembilan’. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI