JELEBU – Rezeki empat beradik sentiasa mengalir dan hidup tenang apabila mereka menjual pelbagai jenis makanan dan minuman berkhasiat pada harga antara 50 sen hingga RM2 di sebuah kantin sekolah.
Sazurina Zolkofli, 38, dari Sungai Buloh, Simpang Durian di sini, berkata, mereka mengekalkan harga itu sejak empat tahun lalu bagi pelbagai menu utama serta air buah-buahan seperti oren dan tembikai.
Katanya, mereka sentiasa melebihkan makanan dan pelbagaikan menu pada harga murah apabila mengenangkan berniaga dengan kanak-kanak selain anak saudaranya seramai enam orang turut bersekolah di situ.
“Kita sedar kalau berniaga di kawasan kampung, pendapatan ibu bapa pun tidaklah sebesar mana. Jadi saya jadikan situasi menang-menang dan berpegang pada prinsip ‘makanan habis, budak kenyang.’
“Walaupun untung tidak sebesar mana tetapi kami yakin rezeki bukan sahaja tidak pernah putus, malah lebih lagi. Kami juga tumpang bersedekah kongsi rezeki untuk arwah ibu yang meninggal dunia pada Februari 2022,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Sazurina, antara menu yang disediakan temasuk nasi lemak ayam goreng, kuetiau goreng ayam goreng, nasi goreng sambal telur sebiji, chicken chop, chidges wedges, chicken wrap, roti john dan burger pada harga antara RM1 hingga RM2.
Tambahnya, dia mendapat jualan sehingga RM200 sehari dan tidak sangka gambar menu-menu yang dibuatnya tular di media sosial.
“Ayam burger kami buat sendiri dengan dikepalkan atau kepingan ayam digoreng bersama breadcrumb. Hanya rotinya sahaja yang diproses. Roti tortilla pula diperbuat daripada tepung gandum dan jagung, tapi tiada gula,” katanya.
Ujar Sazurina, kentang putar juga dibuat sendiri 100 peratus dan mereka sentiasa pelbagaikan menu-menu baru untuk menggembirakan kanak-kanak di sekolah tersebut.














