SEREMBAN – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan Johor atau Melaka merupakan jalan terbaik untuk menamatkan ketidaktentuan politik di negeri itu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk pembubaran DUN sekiranya Johor mengambil langkah sama dalam masa terdekat.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, cadangan tersebut antara pilihan yang dibincangkan dalam Konvensyen PH Johor baru-baru ini susulan keadaan politik negeri yang dilihat semakin tidak stabil.
“PH sudah jelas mempunyai kesediaan seperti yang dinyatakan dalam konvensyen di Johor. Negeri Sembilan bersedia mengadakan pilihan raya serentak dengan Johor jika negeri itu dibubarkan dalam masa terdekat.
“Kadang-kadang ada sokongan, tetapi bila-bila masa sokongan boleh ditarik balik. Lebih baik PRN diadakan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya selepas Majlis Hi-Tea Bersama Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sikamat, di sini hari ini.
Anthony berkata, langkah mengadakan PRN serentak di Negeri Sembilan, Johor dan kemungkinan Melaka juga dapat mengurangkan kos berbanding diadakan secara berasingan.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berpandangan pembubaran DUN Negeri Sembilan merupakan langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku di negeri itu. – KOSMO! ONLINE














