KUALA TERENGGANU – Kecederaan parah pada tubuh disebabkan hentakan kuat dan lemas punca kematian tiga pekerja pelantar minyak dalam nahas di Pelantar Sepat berhampiran perairan Terengganu-Kelantan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, hasil bedah siasat mendapati Nik Muhammad Hafifi Ab Majid, 38, meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada bahagian abdomen dipercayai akibat hentakan kuat.
“Seorang lagi mangsa, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, pula meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian leher.
“Lemas pula menjadi punca kematian Ahmad Fiqri Zakaria, 38,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, dapatan tersebut diperolehi daripada proses bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Ketiga-tiga jenazah mangsa telah dituntut ahli keluarga masing-masing untuk dibawa pulang ke kampung halaman bagi urusan pengebumian secara beransur-ansur sehingga pukul 2.50 petang tadi.
Terdahulu mereka yang berada di dalam bot penyelamat terjunam ke dalam laut pada ketinggian 20 meter setelah tali atau cangkuk yang mengikat bot tersebut dipercayai tercabut secara tiba-tiba pada pukul 12.50 tengah hari semalam. – KOSMO! ONLINE














