fbpx
Ariffin (tengah) menunjukkan kasut antara barangan yang dirampas ketika sidang akhbar hari ini.

KPDNHEP serbu 4 premis jual barang tiruan RM850,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sindiket penjualan barang tiruan yang dikuasai warga Pakistan dan Bangladesh akhirnya tumpas dalam beberapa siri serbuan di sekitar ibu negara pada 29 Mac lalu.

Serbuan tersebut telah dijalankan sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Pengarah KPDNHEP WPKL, Ariffin Samsudin berkata, siasatan awal mendapati, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak dua tahun lalu dengan menjual barangan tiruan.

“Kita telah menyerbu tiga premis di sebuah kompleks pemborong terkenal di Jalan Kenanga dan sebuah gudang di Taman Kencana.

“Hasil serbuan telah berjaya menyita 22,207 barangan tiruan yang terdiri daripada pakaian dan kasut yang dianggarkan bernilai RM850,000,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, selain sentiasa berpindah-randah, sindiket terbabit juga menjalankan perniagaan menerusi dalam talian di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Harga baju dan seluar diperolehi dengan kos RM10 sehingga RM40 sehelai namun dijual dengan harga RM25 hingga RM80. Mereka akan menaikkan harga hampir sama dengan produk asal bagi memperdaya mangsa.

“Sindiket ini disyaki mendapatkan bekalan di negara luar seperti China, Vietnam, Pakistan dan Bangladesh. Mereka juga akan membawa masuk pakaian yang tidak dicetak bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Pakaian yang tiba di pelabuhan kemudiannya akan dicetak di gudang atau premis dengan menggunakan logo jenama terkemuka,” jelasnya.

Jelasnya, sehingga Mac tahun ini, sebanyak 27 kes telah dilaporkan dengan nilai rampasan sebanyak RM1.72 juta. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN