fbpx

Kerjasama MAFI-Bernas jamin peningkatan produktiviti hasil padi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronald ketika merasmikan projek SMART SBB di Tanjung Bijat, Sri Aman, Sarawak.

SARAWAK – Kolaborasi di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dijangka akan meningkatkan hasil pengeluaran benih padi sah negara.

MAFI dalam kenyataan berkata, pengambilalihan pengoperasian Kilang Benih Padi Sah (SPPC) Stumbin di Sri Aman, Sarawak oleh Bernas secara sewaan bersyarat, adalah untuk menjamin operasi SPPC Stumbin lebih berdaya maju dan kekal lestari untuk tempoh jangka panjang.

“Ini juga sebahagian daripada usaha MAFI bersama Bernas dalam mempertingkatkan produktiviti hasil padi negara selari dengan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB),” kata kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, hari ini telah berlangsung Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Kolaborasi Bagi Pengoperasian Kilang Benih Padi Sah (SPPCH) antara MAFI dan Bernas yang disaksikan oleh Menteri MAFI, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee serta wakil kerajaan negeri dan Bernas.

Menurut MAFI, Bernas merancang mengusahakan Program SMART SBB sekitar 1,000 hektar di Sarawak namun memandangkan ketiadaan kilang padi yang bersesuaian untuk menampung pengeluaran padi berskala besar untuk jangka masa panjang, dicadangkan supaya Kilang SPPC Stumbin itu dinaiktaraf sebagai Pusat Belian dan kilang padi komersil.

“Kilang ini dibina pada tahun 2012 dan telah siap pada tahun 2014. Ia berkapasiti mengeluarkan benih sebanyak 2 tan metrik (MT) sejam manakala kapasiti optimum ialah sebanyak 600 MT.

“Usaha pengoperasian sistematik oleh Bernas ini adalah antara langkah awal dalam mewujudkan jelapang padi moden berskala besar di Sarawak,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu, MAFI akan terus menggandakan usaha program SMART SBB untuk menarik lebih banyak lagi pelaburan swasta bagi menjadikan industri padi dan beras negara lebih dinamik dan berdaya saing.

“Penglibatan pihak swasta dalam industri padi dan beras negara penting bagi menyuntik semangat baru kepada industri ini dengan sumber modal pembiayaan semaksimum mungkin sekaligus mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI