fbpx

Kerjasama 1MDB, PetroSaudi bukan untuk kepentingan Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-13 bersetuju kerjasama pelaburan antara syarikat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan nilai AS$2.5 bilion (RM10.56 bilion) bukan untuk kepentingan Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri ketika itu.

Dalam prosiding hari ini bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail turut bersetuju dengan cadangan peguam bela Datuk Hariharan Tara Singh bahawa hasil pulangan daripada kerjasama pelaburan berkenaan sebaliknya memberikan keuntungan kepada Kerajaan Malaysia.

Terdahulu mahkamah sebelum ini diberitahu, melalui kerjasama itu, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion (RM4.26 bilion) sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai.

Syarikat PSI pula melabur menerusi aset bernilai AS$2 bilion (RM8.45 bilion) dengan PSI dan 1MDB bersetuju memberikan diskaun pada nilai AS$1.5 billion (RM6,34 bilion).

Pada  Oktober 2019,  bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangan beliau, mendedahkan perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta (RM2.95 bilion).

Ia berpunca daripada pindahan dana yang dibuat 1MDB kepada Good Star Ltd, iaitu syarikat yang dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Sementara itu, Ismee berkata, pengambilalihan syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) dan Mastika Lagenda Sdn Bhd adalah untuk kepentingan dan keuntungan 1MDB serta Kerajaan Malaysia.

Ismee ketika dirujuk kepada Minit Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB bertarikh 8 Februari 2012, turut bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa pemerolehan TEHSB adalah sejajar dengan dasar syarikat terbabit untuk membuat pelaburan aset tenaga.

Ismee turut bersetuju dengan cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa keseluruhan proses pengambilalihan itu adalah berdasarkan kepada tadbir urus yang betul.

Shahrol Azral  dalam keterangan sebelum ini, memberitahu mahkamah bahawa Najib meluluskan cadangan 1MDB bagi pengambilalihan TEHSB pada harga bidaan sebanyak RM10.6 bilion pada Februari 2012.

Shahrol Azral  berkata, beliau yakin Najib yang memegang portfolio Menteri Kewangan ketika itu tahu mengenai butiran transaksi berdasarkan nota maklumat yang diberikan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low melalui emel dan BlackBerry Messenger (BBM).

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung  4 April ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI