fbpx
Akmal Nasrullah menyampaikan surat tawaran kepada wakil syarikat pada majlis penyerahan tawaran di bawah kerjasama strategik di antara kerajaan Malaysia dan Arm Limited di Putrajaya hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

Sasar cip ‘Made by Malaysia’ dalam tempoh tiga tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan Malaysia mampu menghasilkan cip semikonduktor berjenama ‘Made by Malaysia’ dalam tempoh tiga tahun menerusi kerjasama strategik antara Malaysia dan Arm Limited.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sasaran itu akan direalisasikan melalui usaha meningkatkan keupayaan industri semikonduktor negara daripada aktiviti bahagian belakang (back-end).

Ia seperti pembungkusan dan pengujian kepada bahagian hadapan (front-end) yang melibatkan reka bentuk litar bersepadu (IC design).

Menurut beliau, Malaysia tidak bermula daripada kosong kerana negara sudah mempunyai ekosistem kukuh dalam sektor semikonduktor, namun akses kepada harta intelek (IP) amat penting bagi membolehkan syarikat tempatan bergerak ke peringkat reka bentuk cip.

“Kita meletakkan sasaran supaya dalam tempoh tiga tahun, Malaysia dapat menghasilkan cip yang benar-benar boleh kita sebut sebagai ‘Made by Malaysia’.

“Ia bukan sekadar pemberian token teknologi, tetapi melibatkan komitmen syarikat daripada segi penggunaan tenaga mahir tempatan, peningkatan nilai dalam rantaian industri serta pembangunan produk yang boleh dipasarkan ke peringkat global,” katanya selepas perasmian Majlis Penyerahan Tawaran Token Arm Limited di sini, hari ini.

Akmal berkata, antara fokus utama pembangunan cip berkenaan termasuk cip berkaitan pelayan (server) berikutan pertumbuhan pesat pusat data di negara ini, selain cip untuk sektor automotif dan automasi kenderaan.

Tambahnya, kerajaan menyasarkan pembangunan 10 syarikat semikonduktor tempatan dengan hasil antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion serta menyokong sekurang-kurangnya 100 syarikat lain berpotensi menjana hasil tahunan sekitar RM1 bilion.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi strategi untuk membina syarikat tempatan yang lebih besar, lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran global,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN