IPOH – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas pada minggu lalu.
Tertuduh, Foon Choon Kheong, 53, hanya memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Bagaimanapun, tiada pengakuan bersalah direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, Choon Kheong didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada seorang wanita warga emas, Woo Chui Fun, 70, di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman dalam daerah Kinta.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 4.40 petang hingga 10 malam pada 4 Mei 2026.
Pertuduhan terhadap Choon Kheong dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili peguam, Khesmin Kapil Dhanoa Singh.
Majistret Evangelin Simon Silvaraj menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan kimia. – KOSMO! ONLINE














