KANON – Berpuluh-puluh nelayan Nigeria dipercayai terbunuh selepas tentera Chad menyerang pejuang militia di Tasik Chad, kata seorang ahli militia awam dan pegawai kesatuan nelayan kepada AFP semalam.
Ahli militia itu berkata, bilangan sebenar mangsa yang maut tidak diketahui kerana operasi ketenteraan di kawasan perairan dan paya luas antara Nigeria, Cameroon, Niger dan Chad itu masih berterusan.
Namun pegawai kesatuan nelayan Tasik Chad berkata: “Jet-jet pejuang Chad mengebom dua buah pulau. Setakat ini, 40 nelayan Nigeria dilaporkan hilang akibat serangan tersebut.”
Ahli militia itu pula memberitahu, jet-jet pejuang Chadian mengebom pulau-pulau yang dikuasai militia Boko Haram di tasik itu sebelah Nigeria sejak Jumaat lalu.
Menurutnya, berlaku ‘kematian besar’ dalam kalangan nelayan yang membayar cukai kepada Boko Haram untuk membolehkan mereka menangkap ikan di kawasan tersebut.
Pengeboman tertumpu di kubu kuat kumpulan Boko Haram di Pulau Shuwa, di mana sempadan Nigeria, Niger dan Chad bertemu di tasik tersebut.
“Kebanyakan mereka yang maut dalam serangan udara itu adalah dari bandar Doron Baga di pesisir tasik sebelah Nigeria dan dari negeri Taraba.,” kata nelayan dari Baga di timur laut Nigeria, Adamu Haladu.
“Bukan rahsia lagi bahawa nelayan Nigeria membayar cukai kepada Boko Haram untuk mendapatkan akses ke pulau terpencil yang mempunyai sumber ikan yang banyak,” tambahnya.
Tentera Chad masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kejadian itu.
Chad mengisytiharkan tiga hari berkabung pada minggu lalu selepas serangan hendap Boko Haram mengorbankan dua jeneralnya.
Dua hari sebelum itu, serbuan Boko Haram ke atas pangkalan tentera di pinggir Tasik Chad membunuh sekurang-kurangnya 24 askar.
Kawasan Tasik Chad berfungsi sebagai pangkalan untuk kedua-dua kumpulan Boko Haram dan militia Negara Islam Wilayah Afrika Barat(ISWAP). – AFP














