KUANTAN – Hasrat seorang nelayan untuk pulang bertemu keluarganya di Thailand tidak kesampaian apabila dia ditemukan maut di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kuantan semalam.
Difahamkan semasa kejadian mangsa Mr.Sa-Edin Samaae, 57, yang bekerja di Endau, Johor dalam perjalanan untuk pulang ke Thailand bersama enam rakannya dengan menaiki sebuah van.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa ditemukan mati dalam keadaan terbaring di tempat duduk R&R berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal mangsa dipercayai pitam dan terjatuh di hadapan tandas R&R Kuantan sebelum orang awam mengangkat dan meletakkan mangsa di atas kerusi batu.
“Orang awam telah menghubung hospital dan pihak ambulans Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke HTAA untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Tambahnya, berdasarkan siasatan awal juga mendapati mangsa yang berasa tidak sihat sejak dua minggu lalu mahu pulang ke Thailand bertemu dengan keluarganya.
Katanya, sebelum ini mangsa mengalami bengkak pada bahagian kaki, tetapi tidak pergi mendapatkan rawatan dengan hanya membeli ubat di farmasi. – KOSMO! ONLINE














