fbpx

Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan dikendalikan tiga kru warga Indonesia dikesan memasuki perairan Malaysia, dekat Bagan Datuk, petang semalam.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dekat Pulau Lalang, Bagan Datuk, petang semalam.

Bot nelayan dari Indonesia itu dikesan berada pada kedudukan tujuh batu nautika barat daya Pulau Lalang yang merupakan sebahagian dari gugusan Pulau Sembilan, kira-kira pukul 2 petang.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, tangkapan itu dilakukan oleh bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di perairan Pulau Sembilan.

“Pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga Indonesia tanpa dokumen pengenalan diri.

“Mereka juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa setelah memasuki perairan perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bot serta kru diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kampung Acheh, dekat sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI